Faris Fuad


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) bersetuju menubuhkan lima jawatankuasa bersama bagi menangani sindiket penyeludupan di laluan masuk dan keluar negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan bertindak mengikut permintaan dan keperluan Kastam dalam menangani isu itu termasuk penyeludupan dadah, minuman keras dan rokok secepat mungkin.

Pada masa sama, katanya, kerjasama itu membolehkan dua agensi keselamatan terbabit berkongsi data dan saling bertukar maklumat.

“Kita bincang dan perincikan tindakan susulan, misalnya kita menyelaraskan strategi bersama membabitkan isu keldai dadah.

“Sebelum ini, Jabatan Kastam Hong Kong ada menahan seorang keldai dadah warganegara Malaysia di negaranya.

“Kita saling bekerjasama dalam hal ini, PDRM dan Kastam mempunyai kenalan dan kepakaran masing-masing.

“Kita memang bekerjasama dengan Kastam sebelum ini, namun dengan penubuhan jawatankuasa itu, kita akan memantapkan lagi operasi dua agensi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup Mesyuarat Peringkat Tertinggi PDRM dan Kastam Keempat di Genting Highlands, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam.

Sejurus itu, Mohamad Fuzi dan Subromaniam menandatangani Nota Kerjasama sebagai asas garis panduan utama dalam proses perkongsian dan pertukaran maklumat yang lebih efektif dan sistematik.

Sementara itu, Subromaniam berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dalang di sebalik beberapa sindiket penyeludupan itu.

“Proses itu mempunyai beberapa lapisan dan mengambil masa.

“Namun, kita tidak boleh dedahkan butiran dan identiti individu terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 1:23 PM
MOHAMAD Fuzi (kiri) bersama Subromaniam bertukar nota kerjasama antara JKDM dengan PDRM. FOTO Zulfadhli Zulkifli
MOHAMAD Fuzi (kiri) bersama Subromaniam bertukar nota kerjasama antara JKDM dengan PDRM. FOTO Zulfadhli Zulkifli