ABDUL Latiff. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
ABDUL Latiff. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil

Nilai: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak akan berputus asa dalam usaha meningkatkan penguatkuasaan dan memburu pihak yang menjadi dalang kegiatan menjual rokok seludup di negara ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latiff Abdul Kadir, berkata, pihaknya mengakui terdapat pihak tertentu bertindak sebagai dalang aktiviti penjualan rokok berkenaan di pasaran.

Katanya, suspek bertindak licik dengan menggunakan pelbagai taktik atau modus operandi bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Namun, kastam tidak akan berputus asa dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan ini dan turut bekerjasama dengan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta pihak berkuasa lain.

"Malah, setakat ini kita (Kastam) masih tidak puas hati dari segi kutipan cukai rokok kerana banyak rokok di pasaran adalah rokok tidak sah dan kita tak dapat kutip cukai daripada rokok tidak sah itu," katanya ketika ditemui selepas sidang media berhubung rampasan dadah di Ibu Pejabat Kastam Cawangan Narkotik di Kampung Jijan, di sini, tadi.

Abdul Latiff turut mengesahkan kajian sebuah badan bebas mendapati terdapat 62 peratus rokok di pasaran ketika ini adalah rokok seludup.

"Kita terima dapatan kajian itu dibuat oleh badan bebas, tapi tugas kita adalah meneruskan operasi.

"Sejak awal tahun ini hingga sekarang, kita dapati terdapat penurunan sebanyak enam peratus kes menjual rokok seludup.

"Impak daripada itu, berlaku peningkatan kutipan hasil ke atas rokok-rokok yang sah sekitar lima peratus setakat ini," katanya yang mengesahkan tiada taktik baharu yang digunakan sindiket ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai dakwaan kemungkinan terdapat kalangan pegawai atau anggota Kastam terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Abdul Latiff berkata, Kastam tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana kakitangan jabatan itu yang didapati terbabit dalam aktiviti penyeludupan atau menjual rokok seludup.

"Kalau kita mempunyai bukti yang jelas (kakitangan terbabit) kita akan ambil tindakan dan kita tidak bertolak ansur mengenai perkara ini.

"Namun setakat ini, tiada bukti menunjukkan ada kalangan mereka yang terbabit," katanya.

Berdasarkan kajian Kajian Rokok Seludup Malaysia (ICS), negara boleh kehilangan sehingga RM5 bilion pendapatan cukai yang tidak dikutip setahun akibat kegiatan rokok seludup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 5:44 PM