Suspek yang ditahan. FOTO Ihsan Polis.
Suspek yang ditahan. FOTO Ihsan Polis.
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN tiga lelaki memecah masuk sebuah bangunan dan mencuri sarang burung walit di Taman Damai, Padang Serai, dekat Kulim, membawa padah apabila salah seorang daripada mereka ditahan awal pagi hari ini.

Kejadian jam 4.15 pagi, disedari dua pekerja yang datang ke bangunan itu untuk menjalankan pemeriksaan sebelum mendapati suspek sedang leka mencuri sarang burung berkenaan.

Sebaik menyedari kehadiran pekerja itu suspek yang panik cuba melarikan diri namun seorang daripadanya berjaya ditahan pekerja terbabit.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek yang ditahan berusia 34 tahun.

Beliau berkata, berlaku pergelutan sebelum seorang suspek berjaya ditangkap manakala dua lagi suspek dipercayai berjaya melarikan diri menaiki kereta Proton Iswara.

“Salah seorang pekerja terbabit turut mengalami kecederaan di mulut ketika bergelut untuk menahan suspek yang bersenjatakan batang paip.

“Dua lagi suspek menaiki kereta menuju ke Jalan Baling-Padang Serai dan usaha memburu mereka sedang dijalankan.

“Anggaran kerugian sebanyak RM30,000 dan siasatan mendapati suspek masuk melalui pintu hadapan dengan memotong mangga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Nasir berkata, suspek yang berasal dari Pulau Pinang itu juga memiliki lima rekod jenayah lampau membabitkan empat kes dadah dan satu kes ugutan jenayah.

Katanya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 8:38 PM