KAKI dan tangan suspek diikat pada kayu selepas didapati cuba memecah masuk premis sarang burung walit di Kampung Parit Kualoh, Sungai Kepar, Bagan Serai, hari ini. FOTO ihsan polis.
KAKI dan tangan suspek diikat pada kayu selepas didapati cuba memecah masuk premis sarang burung walit di Kampung Parit Kualoh, Sungai Kepar, Bagan Serai, hari ini. FOTO ihsan polis.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


TINDAKAN seorang lelaki cuba memecah masuk premis sarang burung walit di Kampung Parit Kualoh, Sungai Kepar, Bagan Serai, mengundang padah apabila diberkas orang ramai, hari ini.

Malah, kaki dan tangan suspek diikat pada tiang di premis berkenaan sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian 6.18 pagi itu, pemilik premis berusia 47 yang berada di rumah di kawasan berhampiran lokasi kejadian, menerima mesej penggera keselamatan melalui telefon bimbitnya.

“Sebaik tiba di tempat kejadian bersama beberapa rakannya, dia melihat kelibat seseorang keluar dari pintu utama rumah sarang burung itu dan terus mengejar suspek serta berlaku pergelutan sebelum lelaki itu diberkas.

“Rakan pengadu kemudian menghubungi anggota Balai Polis Semanggol untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi.

Omar Bakhtiar berkata, anggota polis tiba pada 7.30 pagi sebelum membawa suspek ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 32 tahun dan melakukan perbuatan itu seorang diri manakala pemeriksaan terhadapnya mendapati ada kesan luka pada bahagian dahi, lutut kiri dan siku kirinya.

“Polis turut merampas satu beg silang milik suspek dan menemui objek menyerupai pistol yang pecah berwarna hitam, plastik berisi sarang burung, sebuah telefon bimbit dan pelbagai peralatan pecah rumah.

“Suspek ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Parit Buntar esok untuk mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kegiatan pecah rumah dan mencuri,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah membabitkan kes dadah dan mencuri motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 9:26 PM