NOOR Azura menunjukkan gambar enam bayi dan kanak-kanak yang warisnya dicari JKM. FOTO Zuhainy Zulkiffli
NOOR Azura menunjukkan gambar enam bayi dan kanak-kanak yang warisnya dicari JKM. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Timur Laut sedang mengesan waris kepada enam kanak-kanak termasuk empat adik-beradik bagi urusan pendaftaran sijil kelahiran yang tergendala dan proses penjagaan.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Noor Azura Ahmad berkata, waris pertama yang dicari membabitkan empat beradik masing-masing tiga lelaki dan seorang perempuan iaitu Mohd Aiman berusia enam tahun; Adam Daniel (2); Riayashini (5) dan Mohd Hairish, sepuluh bulan.

Katanya, mereka diselamatkan JKM pada September lalu selepas didapati ditinggalkan dan diabaikan di rumah tanpa pengawasan orang dewasa.

“Keempat-empat beradik ini didapati tiada sijil lahir dan kita minta ibu bapa kandung kanak-kanak terbabit tampil bagi urusan dokumentasi seterusnya supaya kita dapat uruskan pendaftaran lewat sijil kelahiran mereka.

“Siasatan juga mendapati tiada pihak yang layak memberi penjagaan serta perlindungan terhadap empat beradik itu dan mereka dilindungi JKM di bawah peruntukan Seksyen 30 (1) (d) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya kepada media di Georgetown, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Azura berkata, pihaknya juga sedang mengesan waris kepada bayi perempuan berusia sembilan bulan yang ditinggalkan ibu bapa kandung di Hospital Lam Wah Ee pada 23 Mac 2018.

Bayi warga Myanmar yang diberi nama Cho Cho Lwin (Erina) itu dibawa ke hospital berkenaan dalam keadaan kritikal sebelum ibu bapanya menghilangkan diri.

Turut dikesan ialah waris kepada bayi lelaki berusia kira-kira sebulan yang ditinggalkan di bilik persalinan di pusat beli-belah Tesco, Tanjung Pinang 6 Disember lalu.

“Bayi berkenaan ketika dijumpai masih bersama uri, dibalut dengan tuala tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan kini ditempatkan di Hospital Pulau Pinang di bawah pengawasan JKM.

“Sehubungan itu, waris kepada kanak-kanak dan bayi terbabit atau mana-mana pihak yang mungkin mengenali mereka digesa supaya tampil menyalurkan maklumat kepada JKM,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak Daerah Timur Laut di talian 04-2264531 atau 04-2277413,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 2:46 PM