GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Olivia Miwil


KERAJAAN Sabah dijangka memutuskan sama ada akan melaksanakan larangan merokok di restoran atau sebaliknya, selepas mesyuarat Kabinet negeri, esok.

Perkara itu disahkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong sambil memaklumkan beliau sudah mengarahkan Jabatan Kesihatan negeri menangguhkan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan sehingga Kabinet negeri membuat keputusan.

Beliau berkata, kementeriannya sudah mengadakan pertemuan dengan Jabatan Kesihatan semalam berhubung perkara berkenaan bagi mengelak kekeliruan.

“Notis itu (penangguhan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan) dikeluarkan untuk mengelak kekeliruan dan menunggu keputusan (mesyuarat) Kabinet (negeri) esok,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Mengulas lanjut, Wong berkata, walaupun pekeliling penangguhan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan hanya dikeluarkan semalam, tidak bermakna kerajaan negeri enggan mematuhi peraturan Kementerian Kesihatan yang dikuatkuasa mulai 1 Januari lalu.

Ditanya mengenai kemungkinan keputusan mesyuarat esok, Wong berkata: “Saya fikir kerajaan negeri mungkin akan melaksanakannya, kita lihat nanti.”

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Jaujan Sambakong dipetik berkata, larangan itu perlu diteliti untuk diselaraskan dengan undang-undang negeri.

Seorang lagi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew pula dilaporkan berkata, perkara itu perlu dibawa dalam mesyuarat Kabinet terlebih dahulu kerana banyak aspek perlu diambil kira, antaranya kesan kepada aktiviti pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 8:07 PM