Plastik yang tersangkut pada katup apung keluar tangki utama di PPR  Krubong.
Plastik yang tersangkut pada katup apung keluar tangki utama di PPR Krubong.
Nurul Fhatihah Zakinan

Melaka: Plastik tersangkut pada katup apung keluar tangki menjadi punca utama aktiviti harian hampir 600 keluarga di empat blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, terjejas susulan ketiadaan bekalan air sejak Khamis lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Mohd Khalid Nasir berkata, bendasing itu ditemui di bahagian tangki utama menyebabkan tekanan air masuk ke tangki sedutan rendah.

Katanya, siasatan mendapati air tidak dapat masuk ke tangki sedutan menyebabkan booster pump pada setiap blok bangunan tidak dapat berfungsi sebelum meminta bantuan pihak kontraktor Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

“Plastik itu ditemui selepas kontraktor LPM menyelenggara di tangki sedutan.

“Selepas plastik dibuang, tekanan air kembali tinggi masuk ke dalam tangki utama dan penuh dalam tempoh tiga jam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SAMB, Jalan Hang Tuah, semalam.

 Keadaan tangki air utama yang tersekat plastik.
Keadaan tangki air utama yang tersekat plastik.

Mohd Khalid turut menafikan dakwaan penduduk mengenai paip 180 milimeter (mm) bocor sebagai punca masalah itu berlaku malah ia tiada kaitan langsung.

“Berlaku salah faham oleh penduduk PPR mengenai paip pecah sebelum ini. Tangki itu sebenarnya menerima sumber daripada kolam air di Bukit Kuda manakala paip bocor itu hanya membabitkan kawasan Taman Kubong Jaya semasa pembaikan,” katanya.

Pihaknya turut menyediakan lori tangki air dan tangki statik untuk kegunaan penduduk sehingga bekalan air dapat diagihkan kepada semua penduduk PPR sementara menunggu tangki berkenaan penuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 12:33 PM