Kereta dinaiki empat orang terbabas dan melanggar pokok. FOTO Ihsan Bomba
Kereta dinaiki empat orang terbabas dan melanggar pokok. FOTO Ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi


DUA maut manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar pokok dalam kejadian di Kilometer 55 Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Kampung Jering, Ayer Tawar, Manjung, Perak hari ini.

Difahamkan, kereta dinaiki empat mangsa itu dari Johor dan dalam perjalanan ke Pantai Remis untuk menghadiri upacara sembahyang.

Pemandu kereta berkenaan, Ong Eng Hoi, 54, dan wanita yang juga penumpang belakang sebelah kanan, Tan Kah Sim, 52, maut di lokasi kejadian akibat parah.

Turut cedera penumpang hadapan kereta iaitu lelaki berusia 24 tahun dan wanita berusia 46 tahun yang duduk di tempat duduk belakang dengan masing-masing patah kaki kanan dan cedera tangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boo Khim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.55 pagi.

Katanya, kemalangan itu membabitkan empat mangsa yang menaiki sebuah kereta dari arah Ipoh menghala ke Pantai Remis.

“Apabila tiba di tempat kejadian kereta yang dinaiki empat mangsa itu hilang kawalan lalu melanggar pokok di bahu jalan.

“Kejadian itu menyebabkan pemandu kereta dan penumpang belakang di bahagian kanan parah dan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

“Pemandu kereta adalah adik ipar wanita yang turut maut,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan dua lagi mangsa yang cedera turut menerima rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit membabitkan seorang wanita dan lelaki namun disahkan maut oleh pegawai perubatan.

“Dua lagi mangsa yang cedera iaitu lelaki dan wanita sudah dikeluarkan orang awam sebelum dihantar ke hospital.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi yang diketuai Suhaimi Nijar itu tamat jam 7.56 pagi,” katanya.

Gambar Ihsan Bomba

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 3:59 PM