DUA pengawal pantai APM Langkawi mengarahkan pelancong untuk tidak melakukan aktiviti air di Pantai Chenang berikutan amaran ribut Tropika Pabuk yang dijangka melanda pesisir pantai Langkawi. FOTO Shahrizal Md Noor
DUA pengawal pantai APM Langkawi mengarahkan pelancong untuk tidak melakukan aktiviti air di Pantai Chenang berikutan amaran ribut Tropika Pabuk yang dijangka melanda pesisir pantai Langkawi. FOTO Shahrizal Md Noor
Petah Wazzan Iskandar


KEADAAN pulau Langkawi tenang tanpa sebarang kejadian tidak diingini biarpun ia dilapor bakal menerima tempias daripada ribut tropika Pabuk, hari ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi berkata, pihaknya sehingga kini masih belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian akibat ribut dan angin kencang sejak semalam.

“Buat masa ini, anggota APM masih diletak dalam keadaan berjaga-jaga sejak semalam dan rondaan turut dilakukan di pesisir pantai termasuk kawalan di menara tinjau.

“Keadaan laut juga tidak bergelora dan angin tidak sekuat semalam. Ini menunjukkan perkembangan yang baik. Namun begitu, kita tetap berjaga-jaga sehingga amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) ditarik balik sepenuhnya.

“Malah, kita juga akan memastikan arahan Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) membabitkan semua aktiviti lawatan pulau ke Tasik Dayang Bunting dibatalkan adalah dipatuhi bagi memastikan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya yang ditemui di Langkawi, hari ini.

Semalam NSTP melaporkan Pengarah Pejabat Meteorologi Pulau Pinang, Ling Leong Kwok, menegaskan Pabuk yang melanda perairan Pantai Timur Semenanjung tidak akan membadai Langkawi secara terus, sebaliknya pulau peranginan itu hanya akan menerima kesan sampingan akibat keadaan itu.

Ini kerana kedudukan angin ribut berada pada jarak 200 kilometer (km) ke utara, sekali gus mustahil bagi ia membadai Langkawi secara terus.

Sehubungan itu, beliau berkata, penduduk dan Langkawi di Langkawi tidak perlu panik dengan keadaan itu, namun hanya perlu berhati-hati dengan keadaan angin kuat dan hujan, kesan daripada pinggiran ribut itu.

Malah, pengusaha feri juga memaklumkan tiada sebarang pembatalan atau pengurangan perjalanan feri ke Langkawi dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis susulan amaran pulau pelancongan terbabit dijangka menerima tempias daripada ribut tropika Pabuk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 9:28 AM