LAWATAN ke Tasik Dayang Bunting, dibatalkan. FOTO arkib NSTP
LAWATAN ke Tasik Dayang Bunting, dibatalkan. FOTO arkib NSTP
Suzalina Halid


SEMUA aktiviti lawatan pulau (island hoping) ke Tasik Dayang Bunting, Langkawi, esok dibatalkan ekoran amaran angin kuat susulan kesan ribut tropika Pabuk dari Laut China Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, arahan itu sudah dikeluarkan pihaknya kepada pengusaha 297 bot mulai hari ini.

Beliau berkata, mengikut jadual awal sekurang-kurangnya 970 pelancong dari dalam dan luar negara sepatutnya mengikuti pakej lawatan pulau ke Tasik Dayang Bunting dari jeti Teluk Baru, bermula pagi esok.

“Kita sudah mengambil langkah tegas dengan meminta ahli LTA membabitkan pengusaha bot dan hotel supaya menghentikan aktiviti lawatan pulau kerana tidak mahu mengambil risiko berikutan bot perlu melalui laut terbuka.

“Situasi ini sememangnya menjejaskan pengusaha bot yang terpaksa memulangkan semula bayaran kepada pelancong, namun kita akan mencari jalan menyelesaikannya.

“Kita juga ada menerima aduan daripada pelancong melalui pihak hotel khususnya daripada India dan Pakistan yang kecewa akibat pembatalan ini, namun kita tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan, ” katanya kepada NSTP, di sini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan ribut tropika Pabuk yang melanda perairan Pantai Timur Semenanjung tidak akan membadai Pulau Langkawi secara terus, sebaliknya pulau peranginan itu hanya akan menerima kesan sampingan akibat keadaan itu.

Pengarah Pejabat Meteorologi Pulau Pinang, Ling Leong Kwok berkata, ini kerana kedudukan angin ribut berada padan jarak 200 kilometer (km) ke utara, sekali gus mustahil bagi ia membadai Langkawi secara terus namun pulau itu tetap menerima kesan seperti angin kuat dan hujan lebat.

Pada masa sama, Zainudin berkata, pihaknya juga akan meminta bantuan pihak penguat kuasa khususnya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk mengambil tindakan termasuk menyita bot milik pengusaha yang masih berdegil meneruskan aktiviti terbabit.

Bagaimanapun difahamkan, aktiviti lawatan paya bakau masih diteruskan kerana hanya membabitkan laluan di dalam hutan paya bakau.

Zainudin berkata, pada masa sama seramai 186 pelancong luar negara terkandas di Koh Lipe, Thailand selepas feri yang sepatutnya membawa mereka ke Langkawi terpaksa dibatalkan hari ini.

“Sepatutnya feri berkapasiti 250 orang yang membawa mereka ke Langkawi bergerak pada 1.30 tengah hari tadi, namun ia terpaksa dibatalkan berikutan keadaan angin kuat, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 5:47 PM