PENGAWAL pantai APM Langkawi mengarahkan pelancong untuk tidak mengadakan aktiviti air di Pantai Chenang berikutan ombak dan angin kuat kesan ribut tropika Pabuk sebelum amaran ditarik balik. FOTO Shahrizal Md Noor
PENGAWAL pantai APM Langkawi mengarahkan pelancong untuk tidak mengadakan aktiviti air di Pantai Chenang berikutan ombak dan angin kuat kesan ribut tropika Pabuk sebelum amaran ditarik balik. FOTO Shahrizal Md Noor
Petah Wazzan Iskandar dan Hamzah Osman


SEMUA aktiviti pantai sudah dibenarkan beroperasi seperti biasa selepas bendera merah diturun susulan amaran ribut tropik Pabuk ditamatkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini.

Penamatan amaran pada 11 pagi itu, dibuat selepas kedudukan ribut tropika Pabuk berada pada jarak 345 kilometer (km) dari Langkawi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi berkata, pihaknya sudah menerima pemakluman mengenai penamatan amaran pada 11.40 pagi tadi.

“Buat masa ini, kami sudah menurunkan bendera merah di beberapa bahagian di Pantai Chenang bagi membolehkan pengunjung melakukan aktiviti seperti berenang ataupun beriadah.

“Bagaimanapun, kita masih mengekalkan anggota di menara tinjau dan sekitar kawasan pandai sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya yang ditemui di Pantai Chenang di Langkawi, hari ini.

Semalam NSTP melaporkan Pengarah Pejabat Meteorologi Pulau Pinang, Ling Leong Kwok, menegaskan Pabuk yang melanda perairan Pantai Timur Semenanjung tidak akan membadai Langkawi secara terus, sebaliknya pulau peranginan itu hanya akan menerima kesan sampingan akibat keadaan itu.

Ini kerana kedudukan angin ribut berada pada jarak 200 kilometer (km) ke utara, sekali gus mustahil bagi ia membadai Langkawi secara terus.

Sehubungan itu, beliau berkata, penduduk dan pelancong di Langkawi tidak perlu panik dengan keadaan itu, namun hanya perlu berhati-hati dengan keadaan angin kuat dan hujan, kesan daripada pinggiran ribut itu.

Malah, pengusaha feri juga memaklumkan tiada sebarang pembatalan atau pengurangan perjalanan feri ke Langkawi dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis susulan amaran pulau pelancongan terbabit dijangka menerima tempias daripada ribut tropika Pabuk.

Sementara itu, METMalaysia mengumumkan penamatan amaran ribut tropika Pabuk selepas kedudukannya didapati berada pada jarak 345 km dari Langkawi dan 362 km dari Arau, Perlis.

Ketua Pengarah METMalaysia, Alui Bahari dalam kenyataan berkata, ribut terbabit semakin menjauhi perairan Malaysia, sekali gus tidak memberi sebarang ancaman kepada negara.

“Keadaan cuaca di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang juga dijangka bertambah baik. Ini membolehkan amaran yang dikeluarkan pada 28 Disember lalu, ditamatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 12:47 PM