ISA (kanan) bersama jirannya, Zainuddin Ismail memantau keadaan ombak besar di pesisir pantai.
ISA (kanan) bersama jirannya, Zainuddin Ismail memantau keadaan ombak besar di pesisir pantai.
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Penduduk sekitar Pantai Pulau Kundor menyifatkan angin kencang dan tempias daripada ribut Tropika Pabuk yang berlaku ketika ini sebagai luar biasa dan menakutkan.

Nelayan, Isa Hassan, 63, berkata, situasi dihadapi itu lebih buruk jika dibandingkan fenomena sama yang dihadapi sejak lebih 60 tahun tinggal di Kampung Pantai Pulau Kundor.

“Sejak semalam (kelmarin) kami sekeluarga tidak tidur lena kerana bimbang ombak besar dan angin kencang yang boleh meranapkan rumah.

“Jarak antara rumah dengan pantai hanya empat meter saja dan kami perlu sentiasa berjaga-jaga,” katanya di rumahnya di sini, semalam.

Menurutnya, sekitar jam 5 pagi semalam, dia bersama isteri, Mek Jah Yaacob, 56, dan lapan anak berusia 15 hingga 40 tahun berjaga kerana ombak menghempas dinding bilik di belakang rumah.

“Sekitar jam 7 pagi barulah keadaan reda sedikit dan kami hanya mampu beristighfar selain berdoa supaya perkara tidak diingini tidak berlaku kerana ini saja satu-satunya rumah kami untuk berteduh,” katanya.

Isa berkata, masalah hakisan di kawasan itu bukan perkara baharu kerana setiap kali musim tengkujuh, mereka sentiasa terancam dengan ombak dan ribut.

KEDUDUKAN rumah penduduk Pantai Kundor yang berhampiran pantai.
KEDUDUKAN rumah penduduk Pantai Kundor yang berhampiran pantai.

Sementara itu, kebimbangan sama turut disuarakan warga emas, Nik Abdul Aziz Mamat, 63, yang menetap di situ lebih 50 tahun bersama keluarganya.

Katanya, dia hanya tidur dua jam sehari kerana bimbang sekiranya tidak sempat bersedia ketika ribut dan ombak besar membadai.

“Selalunya saya akan berjaga sekitar jam 2 atau 3 pagi sehingga keesokan harinya kerana pada ketika itu ombak dan angin yang kuat, selain mahu memantau keadaan semasa,” katanya.

Bapa kepada lapan anak itu berkata, rumahnya dengan pantai berjarak 10 meter menyebabkan dia bimbang mudah ditimpa bencana, memandangkan masalah hakisan semakin serius di kawasan itu.

“Saya sedih melihat kemusnahan pantai akibat hakisan setiap tahun dan sebelum ini penduduk bergotong-royong membina benteng menggunakan guni yang diisi dengan pasir selain usaha Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menambak batu besar di kawasan terjejas, namun ia tidak dapat menyelesaikan masalah hakisan pantai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 11:34 AM