FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Khidir Zakaria


POLIS menahan lima pengunjung program sambutan tahun baharu di Lukut, Port Dickson, malam tadi kerana dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki itu adalah pengunjung dari luar, bukan penduduk tempatan.

Katanya, pihaknya turut mendapati penganjur program itu menyimpang daripada permohonan untuk mengadakan persembahan kebudayaan dan kesenian.

“Saya amat kesal dengan apa yang penganjur lakukan tanpa memaklumkan kepada pihak polis situasi dan perancangan sebenar,” katanya.

Kata Aidi Sham, seramai 80 anggota polis ditempatkan di lokasi program berkenaan bagi mengelakkan kegiatan yang tidak diingini.

Katanya, difahamkan lebih 10,000 pengunjung hadir pada program ambang tahun baharu itu termasuk dari Singapura, Indonesia dan Thailand.

Menurutnya lagi, polis akan memanggil penganjur dan mengambil tindakan jika berlaku pelanggaran undang-undang.

“Kita sudah nasihatkan penganjur untuk tidak menyediakan arak tetapi pemeriksaan mendapati minuman itu dihidangkan di meja jemputan.

“Polis akan mendakwa penganjur mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Awam jika terbukti mereka melanggar syarat yang diberikan,” katanya.

Terdahulu, sebanyak enam laporan polis dibuat kelmarin bagi membantah penganjuran program berkenaan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Teluk Kemang dan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Ahli Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 8:27 AM