FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Khidir Zakaria


PENGANJUR acara sambutan tahun baru tanpa kelulusan di depan hotel di Lukut yang ditahan polis kelmarin, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, penganjur wanita berusia 36 tahun itu yang ditahan di Port Dickson, 9.45 malam kelmarin, dibebaskan selepas polis selesai mengambil keterangannya.

“Wanita itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012 berikutan acara sambutan berkenaan bertentangan dengan kelulusan yang dimohon oleh penganjur sebelum ini.

“Selain itu, polis juga mengesan aktiviti penjualan dan penggunaan minuman keras pada acara itu, selain lima pengunjung turut ditahan kerana kesalahan berkaitan dadah,” katanya, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan polis menahan lima pengunjung program sambutan tahun baharu yang dihadiri kira-kira lebih 10,000 pengunjung termasuk dari luar negara itu, kerana dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Polis dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) turut mendedahkan, penganjur program itu menyimpang daripada permohonan asal iaitu untuk mengadakan persembahan kebudayaan dan kesenian.

Sebelum ini, sebanyak enam laporan polis dibuat bagi membantah penganjuran program berkenaan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Teluk Kemang dan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Ahli Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Berita berkaitan

'Lima sambut tahun baru di PD ditahan'

Penganjur acara sambutan tahun baharu ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 1:56 PM