GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Akibat marah kerana wang yang cuba dikeluarkan dari Automatic Teller Machine (ATM) gagal, seorang lelaki bertindak merosakkan skrin monitor ATM di sebuah bank di Lukut semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pembantu pengurus di sebuah bank dekat sini.

"Polis terima satu aduan semalam pada jam 12.36 tengahari menyatakan lebih kurang jam sekitar 11.10 pagi apabila bank ini didatangi suspek lelaki India untuk mengeluarkan wang.

"Selepas itu, suspek tiba-tiba menumbuk skrin mesin ATM walaupun dihalang oleh pengawal keselamatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya pihak bank kemudiannya mendapati jumlah kerosakan mesin ATM itu dianggarkan RM500.

"Bertindak atas maklumat, pada jam 11.30 pagi kita membuat tangkapan terhadap seorang lelaki India di hadapan CIMB, Pekan Lukut," katanya.

Aidi Sham berkata, suspek berumur 50 tahun mengaku cuba merosakkan mesin ATM wang kerana marah wang tidak keluar.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan jenayah dan dadah.

"Hasil ujian saringan air kencing juga negatif dan suspek direman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok," katanya.

Menurutnya, kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya Negeri Sembilan dan mendapat arahan pertuduhan di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan.

"Suspek akan di bawa ke Mahkamah Majisteret Port Dickson pagi esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 7:08 PM