FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

IBU tiri dan bapa kandung kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat didera, dibenarkan reman selama tujuh bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Perintah reman sehingga 2 Januari itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah/Majistret Faridatul Farrah Mohd Shukri.

Faridatul Farrah mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Supt Mohd Afzanizam Yahaya dilaporkan sebagai berkata, pihaknya menahan bapa mangsa berusia 33 tahun yang bekerja sebagai tukang masak dan ibu tirinya seorang warga Indonesia berusia 23 tahun dan tidak bekerja, untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kematian kanak-kanak itu daripada Hospital Sultan Ismail dekat Johor Bahru, pada 12.50 tengah malam Rabu yang dipercayai akibat didera.

Menurutnya, mangsa dihantar dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terdapat kesan lebam serta bengkak pada bahagian kanan muka, dada, perut dan kedua-dua betis.

"Setelah pemeriksaan dijalankan, doktor mengesahkan bahawa kanak-kanak itu telah meninggal dunia dan bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah trauma tumpul pada abdomen," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Budak maut didera ibu tiri

Kes dera: Maut akibat hentakan benda tumpul

Adik mangsa pun disyaki didera

'Terima kasih kariah Ulu Tiram'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 6:38 PM