PEGAWAI polis membawa bahan bukti siasatan kes kematian bayi perempuan di Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, hari ini. FOTO Amir Irsyad Omar
PEGAWAI polis membawa bahan bukti siasatan kes kematian bayi perempuan di Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, hari ini. FOTO Amir Irsyad Omar
Shamsul Munir Safini


BEDAH siasat ke atas bayi perempuan berusia 47 hari yang maut dipercayai didera mendapati punca kematian mangsa akibat pendarahan dalam kepala.

Selain itu, pemeriksaan turut menemui kesan lebam dan calar pada badan mangsa, di samping patah tulang peha kiri dan rusuk kanan.

Terdapat juga kesan lebam pada kepala, muka, mulut, lengan, kedua-dua kaki serta kemaluan mangsa selain kesan kesan gigitan pada kedua-dua tangan mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan juga menunjukkan kesan pendarahan yang banyak di bawah kulit kepala dan otak

"Organ otak mangsa juga membengkak akibat pendarahan, selain kesan kecederaan pada atas bibir.

"Selain itu, banyak kesan patah dan penyembuhan pada tulang rusuk kiri dan kanan mangsa. Terdapat kesan patah dan penyembuhan pada lengan kanan dan kesan patah baru pada tulang peha kiri," katanya.

Menurutnya, kecederaan itu dipercayai berpunca daripada objek tumpul dan keras seperti lantai, dinding dan pintu termasuk juga perbuatan cubit serta hentakan.

Terdahulu, ibu bapa bayi perempuan masing-masing berusia 22 tahun direman tujuh hari bermula hari ini selepas ditahan malam semalam.

Perintah reman dikeluarkan Pendaftar Nor Hapipah Abdullah bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Berita berkaitan

Jiran selalu dengar bayi menangis

Ibu bapa bayi 47 hari direman [METROTV]

Bayi baru 47 hari maut didera?

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 6:15 PM