Zuliaty Zulkiffli


JABATAN Perikanan Kedah merampas 419 unit bubu naga dan 50 kilogram (kg) pelbagai spesies ikan di sekitar kawasan perairan Kuala Sala, Tanjung Dawai dan Kuala Yan dalam operasi selama dua hari berakhir hari ini.

Pengarahnya, Abdul Halim Marzuki berkata, penggunaan bubu naga dilarang sama sekali kerana mempunyai 20 unjap dan panjang yang boleh mengakibatkan benih ikan dan spesies ikan kecil masuk ke dalam bubu berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya hanya membenarkan penggunaan bubu naga yang mempunyai dua unjap yang hanya membabitkan tangkapan ikan besar.

“Dalam operasi bermula 3 petang hingga 3 pagi hari ini, anggota kami mengesan penggunaan bubu naga yang diharamkan penggunaannya dan merampas peralatan berkenaan membabitkan keseluruhan rampasan bernilai RM34,000.

“Modus operandi dilakukan nelayan terbabit adalah melabuhkan bubu naga ke dalam laut yang jarak hampir dengan pantai sebelum meninggalkannya untuk beberapa hari.

“Mereka kemudian akan memungut hasil tangkapan pada waktu pagi sebelum melabuhkan semula bubu naga berkenaan ke dalam laut untuk tangkapan berikutnya dan ia menjejaskan spesies ikan kecil,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Perlindungan Sumber Kuala Kedah di Alor Setar, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, pihaknya percaya masih banyak lagi bubu naga digunakan terutama di kawasan Tanjung Dawai kerana hanya 70 peratus peralatan itu dirampas.

Katanya, biasanya apabila nelayan mengetahui operasi pihaknya dan merampas peralatan itu, mereka tidak akan beroperasi pada hari berikutnya namun akan berbuat demikian apabila dirasakan selamat.

“Penggunaan bubu naga diharamkan tidak boleh berangkai dan bersambung kerana ia perlu dibuat satu persatu asalkan mempunyai dua unjap.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 8(a), Seksyen 10 (2),dan Seksyen 29 Akta Perikanan 1985,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 9:28 PM
ABDUL Halim (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 419 bubu naga dirampas dalam operasi dilakukan di kawasan Kuala Sala, Tanjung Dawai dan Kuala Yan, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
ABDUL Halim (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 419 bubu naga dirampas dalam operasi dilakukan di kawasan Kuala Sala, Tanjung Dawai dan Kuala Yan, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.