JABATAN Perikanan menahan dua nelayan warga Myanmar dan merampas bubu naga di Sungai Belukang, Rungkup. FOTO ihsan Jabatan Perikanan
JABATAN Perikanan menahan dua nelayan warga Myanmar dan merampas bubu naga di Sungai Belukang, Rungkup. FOTO ihsan Jabatan Perikanan
Noor Hidayah Tanzizi

TAKTIK dua nelayan asing menggunakan bot dengan nombor pendaftaran palsu untuk menangkap ikan secara haram menggunakan bubu naga di Sungai Belukang, Rungkup dekat Bagan Datuk terbongkar apabila diberkas Jabatan Perikanan Perak, hari ini.

Dalam kejadian 8 pagi itu, dua lelaki warga Myanmar itu ditahan bersama 82 bubu naga dan pemeriksaan mendapati bot berkenaan berpangkalan di Bagan Pasir Laut, Selekoh, dan dimiliki warga tempatan.

Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Perak Kampung Acheh, Mansor Yobe berkata, bot berkenaan ditahan pasukannya berhampiran kawasan pantai Sungai Belukang ketika menjalankan rondaan di kawasan terbabit hasil aduan yang diterima.

“Kegiatan menangkap ikan menggunakan peralatan bubu naga itu disedari anggota yang membuat rondaan dan kemudian menghampiri mereka untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dinaiki nelayan Myanmar berusia 38 dan 33 tahun serta 82 bubu naga urut ditemui dalam bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Bagan Datuk, hari ini.

Mansor berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan lain termasuk enjin bot, lima bakul dan lima kilogram pelbagai jenis ikan.

Katanya, susulan itu, satu laporan polis dibuat dan bot terbabit diiringi ke Pangkalan Jeti Perikanan Kampung Acheh, Sitiawan dekat sini untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu mengendalikan atau membenarkan apa-apa peralatan menangkap ikan tanpa lesen.

“Penggunaan bubu naga dilarang berkuat kuasa 1 November lalu kerana ia boleh menyebabkan spesies anak ikan mengalami kepupusan memandangkan peralatan ini memerangkap anak ikan di kawasan persisiran pantai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 6:22 PM