ORANG ramai sedang berurusan di Balai Polis Trafik Tun HS Lee, Kuala Lumpur, hari ini. Foto ZULFADHLI ZULKIFLI
ORANG ramai sedang berurusan di Balai Polis Trafik Tun HS Lee, Kuala Lumpur, hari ini. Foto ZULFADHLI ZULKIFLI
Mohd Azam Shah Yaacob


BIARPUN diberi potongan harga sehingga 50 peratus, namun kaunter bayaran saman trafik tertunggak di Balai Polis Trafik Tun HS Lee, Kuala Lumpur tidak mendapat sambutan.

Berdasarkan tinjauan mendapati hanya terdapat beberapa individu sahaja memanfaatkan tawaran diskaun saman trafik oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Malah, jumlah petugas kaunter jauh lebih ramai daripada orang ramai yang datang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kaunter yang menawarkan diskaun kompaun saman tertunggak sehingga 50 peratus dibuka selama empat hari bermula hari ini sehingga Khamis ini.

Katanya, ia dibuka sempena Hari Bersama Pelanggan oleh JSPT Kuala Lumpur bagi membolehkan orang ramai mendapat maklumat terkini atau berkongsi pandangan untuk meningkatkan kualiti khidmat pada masa akan datang.

“Kaunter ini kita buka selama empat hari dari jam 8.30 pagi sehingga jam 4 petang setiap hari.

“Bagaimanapun, sambutan pada hari pertama sehingga jam 1 tengah hari tadi kurang memuaskan, dan petugas kaunter lebih ramai berbanding individu yang datang untuk mendapat diskaun saman tertunggak,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Zulkefly, tawaran diskaun kompaun itu terbuka bagi kesalahan trafik dilakukan di seluruh negara dan tidak tertakluk kepada saman dikeluarkan oleh Polis Trafik Kuala Lumpur saja.

“Malah, bagi memudahkan orang ramai berurusan, sepanjang kaunter ini dibuka, petugas trafik akan melayan pelanggan yang sudah mengambil nombor giliran sebelum jam 4 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 9:17 PM