ORANG ramai berbaris untuk membuat semakan dan membuat pembayaran saman di Balai Polis Trafik Tun HS Lee, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah
ORANG ramai berbaris untuk membuat semakan dan membuat pembayaran saman di Balai Polis Trafik Tun HS Lee, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


ORANG ramai tidak melepaskan peluang menjelaskan bayaran saman trafik berikutan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun sehingga 50 peratus sempena perayaan Deepavali ini.

Tinjauan NSTP di Balai Polis Trafik Tun H S Lee di Kuala Lumpur mendapati orang ramai berbaris untuk menyemak dan membayar saman seawal jam 7.30 pagi walaupun kaunter hanya dibuka sejam kemudian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, pihaknya membuka tiga kaunter utama bagi memudahkan orang ramai menyemak dan membayar saman yang tertunggak.

“Kira-kira 1,000 orang hadir untuk menyelesaikan saman tertunggak dan mendapat diskaun.

“Tawaran diskaun sehingga 50 peratus sempena perayaan Deepavali mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak.

“Terdapat lima saman utama yang dibenarkan untuk menerima diskaun dan orang ramai dinasihatkan untuk menyemak dahulu di kaunter semakan,” katanya.

ZULKEFLY (kanan) bertemu dengan orang ramai yang berbaris di Balai Polis Trafik Tun HS Lee, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah
ZULKEFLY (kanan) bertemu dengan orang ramai yang berbaris di Balai Polis Trafik Tun HS Lee, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Asyraf Hamzah

Sementara itu, Eksekutif Pemasaran, Mohd Hafiz Ahmad, 35, berkata dia mula berbaris jam 9.30 pagi bagi membuat semakan saman.

“Proses selesai kira-kira dua jam kemudian kerana ramai orang hadir sejak dari pagi tadi.

“Saya menyelesaikan tiga saman trafik dan mendapat diskaun pembayaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 4:22 PM