GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Ipoh: Polis Perak mengutip lebih RM1.04 juta bayaran saman bagi kesalahan lalu lintas dalam tempoh tiga hari sempena tawaran diskaun 50 peratus.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Azizan Hassan berkata, ia membabitkan 9,000 saman atas pelbagai kesalahan trafik mulai 1 Disember hingga 3 Disember lalu.

"Bayaran saman itu dikutip di semua kaunter saman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri ini.

"Dalam tempoh tiga hari pertama tawaran diskaun itu, sebanyak RM1.04 juta bayaran saman berjaya dikutip membabitkan hampir 3,000 pembayar saman," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, orang ramai di negeri ini boleh membuat semakan dan pembayaran saman sehingga tarikh akhir pada 30 Disember ini.

"Kaunter bayaran hanya dibuka pada hari bekerja saja dari 9 pagi hingga 4 petang," katanya.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak menawarkan diskaun 50 peratus terhadap saman trafik dengan bayaran boleh dibuat di semua kaunter saman trafik PDRM Perak.

Pengurangan bayaran saman itu tidak termasuk saman kemalangan tahun ini, saman tidak boleh kompaun (NC), berstatus bicara mahkamah, saman lori dan pengubahsuaian ekzos.

Selain itu, empat kesalahan lain ialah memotong secara berbahaya atau potong 'Q', menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat merah dan memotong di garisan berkembar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 2:25 PM