TONG (belakang kiri) dan kakitangan PERKESO bergambar bersama keluarga Mohd Rodi di hadapan rumahnya di FELDA Sungai Tiram, Ulu Tiram. hari ini. Foto MARY VICTORIA DASS
TONG (belakang kiri) dan kakitangan PERKESO bergambar bersama keluarga Mohd Rodi di hadapan rumahnya di FELDA Sungai Tiram, Ulu Tiram. hari ini. Foto MARY VICTORIA DASS
Mary Victoria Dass


“SAYA sedar kami sedang diuji Allah dan masalah kewangan dialami keluarga memaksa kami menjual tong gas bagi membeli beras, baru-baru ini,” kata bekas pemandu trak angkat susun, Mohd Rodi Ismail, 44.

Mohd Rodi berkata, dia mengalami kemalangan di tempat kerja di sebuah kilang membuat palet barangan di Ulu Tiram pada 3 Mac lalu menyebabkan tiga jari tangan kanannya patah dan mengalami kecacatan.

Katanya, majikannya dipercayai gagal melaporkan kemalangan dialaminya kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) hingga ia menimbulkan permasalahan.

“Selain isteri, saya memiliki lima anak dan tiga daripadanya berusia antara 13 hingga 18 tahun. Hasil laporan Hospital Sultan Ismail (HSI), kecederaan yang saya alami masih belum pulih dan doktor menasihati saya supaya berehat.

“Akibat tidak menerima gaji sejak Mac lalu, saya nekad bekerja di kebun milik kenalan di FELDA Sungai Tiram dan akibat kehilangan tempat tinggal, kami berpindah ke sebuah rumah di kebun terbabit,” katanya.

Mohd Rodi berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan daripada Pengarah PERKESO Johor Tong Sing Chuan dan Penolong Pengarah Penguatkuasaan PERKESO Johor, Razak Omar di FELDA Sungai Tiram, Ulu Tiram, hari ini.

Katanya, dia kini bergantung kepada gaji harian, namun ia tidak tetap.

“Saya tidak mampu bekerja setiap hari kerana kecederaan dialami tidak sembuh sepenuhnya. Ia mengakibatkan kami kerap terputus bekalan makanan dan baru-baru ini menjual tong gas untuk membeli beras.

“Kini isteri, Rahimah Idin, 44, memasak menggunakan dapur kayu,” katanya.

Sementara itu Tong berkata, pihaknya menjejaki Mohd Rodi berdasarkan aduan diterima dan PERKESO mendapati lelaki berkenaan dan keluarganya menjalani kehidupan serba kekurangan.

“Mohd Rodi diusir oleh majikannya daripada menumpang stor yang dijadikan sebagai tempat tinggal. Semakan menunjukkan Mohd Rodi ditimpa kemalangan pada Mac lalu tetapi majikan tidak mahu melaporkan kemalangan terbabit sebaliknya mengusirnya keluar.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, PERKESO berjumpa dengan pihak majikan dan akhirnya berjaya mendaftarkan kes terbabit selepas mengesahkan ia kemalangan berlaku di tempat kerja,” katanya.

Tong berkata, PERKESO mengambil inisiatif mendaftar dan memproses kes berkenaan.

“Bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara diluluskan dan diserahkan kepada Mohd Rodi, malah PERKESO juga akan memproses Faedah Hilang Upaya Kekalnya.

“Menjadi kesalahan kepada mana-mana majikan yang gagal melaporkan kemalangan pekerja mereka kepada PERKESO dan jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda RM10,000 ataupun dua tahun penjara ataupun kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 8:07 PM