MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Baharom Bakar


GURU lelaki dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus ketika mandi bersama tiga yang lain di Sungai Setiu, dekat Jambatan Bandar Permaisuri, Setiu, Khamis lalu, ditemui lemas, pagi ini.

Mayat Abd Rauf Mohd Zulkarnain, 27, ditemui terapung kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), jam 10.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, mayat Abd Rauf yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tiara Permai, Sentul, Kuala Lumpur kemudian dihantar ke Hospital Setiu (HS) untuk bedah siasat.

“Selepas itu, mayat akan diserahkan kepada ahli keluarganya bagi urusan pengebumian,” katanya.

Khamis lalu, mangsa yang berasal dari Jalan Penarik, Bandar Permaisuri, Setiu bersama adik lelakinya, Abd Wafi dan dua rakannya berusia 17 tahun ke lokasi untuk mandi, jam 4.10 petang.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika cuaca hujan renyai dan arus sungai deras berikutan banjir yang mula melanda Setiu.

Mangsa secara tiba-tiba dihanyutkan arus deras selepas kira-kira setengah jam berenang.

Bagaimanapun, Abd Wafi dan dua lagi rakannya selamat dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 12:32 PM