Siraj Mohd Zaini


PENGURUS syarikat sekolah memandu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM4,800 bagi mendapatkan lesen memandu secara tidak sah kepada warganegara Indonesia, dua tahun lalu.

Tertuduh, Lee Kah Loong, 36, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Adli Abdul Ghalib.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima suapan iaitu wang tunai RM4,800 daripada seorang majikan sebagai dorongan untuk mendapatkan lesen memandu bagi pekerjanya seorang lelaki warga Indonesia sedangkan dia tidak mengikut prosedur ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Perbuatan itu dilakukan pada 5.50 petang 24 Mei 2016 di pejabat sekolah memandu di Uptown Damansara, Petaling Jaya.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Hazirah Azeman memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000.

Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan kerana perlu menanggung tiga orang anak serta kos pembedahan bapa mertuanya pada minggu hadapan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 7 Januari 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 10:39 PM