WAN Abd Razak (tengah)  diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.
WAN Abd Razak (tengah) diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Dua peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam terhadap tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM650 bagi perkhidmatan mereka tahun lalu.

Tertuduh, Wan Abd Razak Wan Dollah, 41, dan Azura Ghazali, 32, masing-masing didakwa terhadap lapan dan lima tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Adli Abd Ghalib.

Wan Abd Razak didakwa membuat lapan tuntutan palsu berhubung khidmat mitigasi dan ikat jamin lapan pelanggan berjumlah RM400 melalui seorang ejen yang juga Pegawai Tadbir YBGK G Abirami dengan niat mengelirukan ejen itu antara 18 Mac hingga 5 Oktober 2015 di pejabat YBGK di Jalan Hospital, di sini.

Azura pula didakwa melakukan perbuatan sama terhadap lima pelanggan berjumlah RM250 pada 11 Oktober 2015 di pejabat YBGK di lokasi sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 18, Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah tuntutan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nor Azah Kasran menawarkan wang jaminan masing-masing RM50,000 terhadap mereka.

Bagaimanapun, Ahmad Nizam Mohd yang mewakili tertuduh bersama tujuh peguam lain memohon wang jaminan dikurangkan memandangkan ia terlalu tinggi dan anak guam mereka tidak mampu membayarnya.

Mahkamah membenarkan Wan Abd Razak diikat jamin RM15,000 dan Azura diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 November sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 8:39 AM