TERTUDUH (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.
TERTUDUH (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.
Muhamaad Razis Ismail


BEKAS pengarah Kawal Selia Padi Dan Beras cawangan Kelantan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap tuduhan menerima suapan berjumlah RM3,500 daripada tauke beras pada April lalu.

Tertuduh, Nik Yaacob Idris, 59, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Adli Abd Ghalib.

Mengikut pertuduhan, Nik Yaacob didakwa memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM3,500 daripada tauke beras untuk memudahkan urusan permit kebenaran memindah beras.

Perbuatan itu dilakukannya di Restoran Al-Khatiri, Bandar Baru Kubang Kerian pada 3.25 petang, 12 April 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nurdalilah Md Daud manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 September depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 12:51 PM