Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Gambar Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN:

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) menafikan wakilnya berkongsi pentas dalam program bacaan doa bersama penganut agama lain di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), kelmarin.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, individu yang membacakan doa bagi orang Islam itu dikenal pasti sebagai wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Beliau mengakui ABIM menghantar seorang wakil menghadiri program itu selepas menerima jemputan, namun tidak mengetahui acara bacaan doa pelbagai agama akan diadakan.

"Kami menghantar wakil tapi bukan untuk membacakan doa. Kehadiran kami bertujuan menyampaikan dakwah kepada orang bukan Islam dengan membawa konsep perpaduan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika dihubungi NSTP di Seremban, hari ini.

Muhammad Faisal berkata, pihaknya tidak dimaklumkan lebih awal mengenai acara bacaan doa secara bergilir-gilir oleh wakil Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan Sikh dalam program berkenaan.

NSTP kelmarin, melaporkan program anjuran Sathya Sai Organisation of Malaysia menyaksikan lima wakil setiap agama berkongsi pentas dengan memperdengarkan doa untuk kesejahteraan rakyat dan negara kepada 300 hadirin.

Program itu kemudian ditegur Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, yang menyifatkan tindakan individu beragama Islam membaca doa bersama penganut agama lain sebagai merendahkan martabat Islam.

Katanya, walaupun berniat baik, perbuatan itu tetap salah kerana Islam seharusnya memimpin bukannya dipimpin, selain seolah-olah memberi gambaran Islam setara dengan agama lain.

Sementara itu, Muhammad Faisal menyarankan pihak berkuasa agama Islam supaya menganjurkan program serupa namun tidak membabitkan bacaan doa agama lain, untuk memberi kefahaman lebih jelas kepada golongan bukan Islam.

"Pertubuhan ini berniat baik untuk untuk mengeratkan hubungan, mungkin mereka tidak tahu kesalahan dalam konteks Islam. Oleh itu, jabatan agama Islam atau majlis agama Islam boleh bertindak sebagai penganjur dengan menjemput orang bukan Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 3:15 PM