WAKIL pelbagai agama membaca doa mengikut kepercayaan masing-masing sempena Program Perpaduan Dalam Kepelbagaian.
WAKIL pelbagai agama membaca doa mengikut kepercayaan masing-masing sempena Program Perpaduan Dalam Kepelbagaian.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENGANUT lima agama dan kepercayaan berkongsi pentas di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Seremban, hari ini bagi menjayakan Program Perpaduan Dalam Kepelbagaian dengan membacakan doa untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

Lima wakil memperdengarkan doa kepada 300 hadirin membabitkan penganut Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan Sikh.

Program anjuran Sathya Sai International of Malaysia bermula 6.30 petang hingga 10 malam bertujuan memupuk kesepakatan dalam kepelbagaian kaum dan agama bagi mewujudkan kehidupan harmoni.

Menurut jurucakap penganjur, wakil agama bergilir-gilir membacakan doa bagi kesejahteraan kehidupan rakyat dan negara.

"Pada malam ini wakil Skuad Mubaligh Negeri Sembilan yang mewakili masyarakat Islam membacakan doa dalam bahasa Arab untuk didengari kepada bukan Islam.

"Begitu juga wakil agama Hindu, Buddha, Kristian dan Sikh memperdengarkan doa bertujuan memupuk kesepakatan," katanya.

Program itu sepatutnya dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional), P Waytha Moorthy namun beliau tidak hadir.

Menurut penganjur lagi, pada majlis sama semua yang hadir membabitkan pelbagai kaum menyalakan pelita dan lilin bagi menunjukkan perpaduan di negara ini.

"Walaupun rakyat Malaysia menganut pelbagai agama, kita tetap bersatu dan muafakat," katanya.

Dalam program itu turut diadakan persembahan kebudayaan iaitu paluan kompang, dikir muhibbah dan nyanyian oleh kumpulan mewakili Tzu Chi, Bahai, Sikh, Kristian dan Sathya Sai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 11:07 PM