Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


TINDAKAN beberapa Muslim membaca doa bersama penganut agama lain pada Program Perpaduan Dalam Kepelbagaian di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), malam tadi disifatkan merendahkan martabat Islam.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, walaupun berniat baik, perbuatan itu tetap salah kerana Islam seharusnya memimpin bukannya dipimpin.

Katanya, tindakan individu terbabit yang bergilir-gilir membaca doa bersama penganut agama Kristian, Hindu, Buddha dan Sikh seolah-olah memberi gambaran Islam setara agama lain.

“Ia salah dan bagi tanggapan masyarakat bukan Islam, Islam setaraf dengan agama mereka. Al-Quran menyatakan tiada agama lain diterima Allah SWT melainkan Islam.

“Mereka tahu mengenai itu tetapi mengapa berkongsi pentas yang sama sekali gus menjatuhkan martabat agama suci kita,” katanya kepada NSTP ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Mohd Yusof, niat mewujudkan kesepakatan boleh dilakukan tetapi bukan dengan cara berkongsi pentas dan membacakan doa mengikut kepercayaan masing-masing.

“Perkara ini tidak pernah diajar atau dilakukan, apatah lagi orang Islam sendiri mendengar bacaan doa daripada penganut agama lain.

“Apa yang berlaku ini sama seperti kita tahu minum arak dan berjudi adalah haram di sisi Islam, tetapi kenapa dilakukan,” katanya.

NSTP malam tadi melaporkan, program anjuran Sathya Sai Organisation of Malaysia menyaksikan lima wakil setiap agama berkongsi pentas dengan memperdengarkan doa untuk kesejahteraan rakyat dan negara kepada 300 hadirin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 2:59 PM