SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO arkib NSTP
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO arkib NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


KERAJAAN negeri Johor akur untuk memastikan peruntukan diberi seadilnya kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pembangkang.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu dinyatakan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, menerusi perbualan telefon mereka, semalam.

Syed Saddiq berkata, kekeliruan timbul susulan kenyataan Osman yang dilaporkan berkata, tidak akan menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

“Mungkin ada yang salah faham ketika saya mengulas kenyataan Menteri Besar Johor itu. Kita bukan nak kasi peruntukan berjuta-juta kerana peruntukan wakil kerajaan juga tidak banyak, namun kita akan pastikan bantuan itu adil.

“Kita akan keluarkan satu dasar menyeluruh untuk turut membantu ADUN pembangkang,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, tidak wajar ada diskriminasi dalam penyaluran peruntukan pembangunan dan kerajaan Johor boleh mencontohi kerajaan Negeri Selangor yang memberikan peruntukan RM200,000 setahun kepada setiap ADUN pembangkang.

“Pendirian saya mudahlah. Sebab dalam proses hendak membina semula negara setiap orang tidak kira agama, bangsa dan fahaman politik ada tempat, khususnya rakyat di tempat itu sudah memilih calon terbabit.

“Walaupun calon itu adalah lawan saya, tapi individu terbabit sudah diberikan mandat oleh rakyat, kita tidak boleh diskriminasi dia.

“Pada masa sama kita nak pastikan kita adalah kerajaan yang amanah dan adil, kita kena pastikan ada pembangkang yang kuat sebab itu kita perlu membantu. Bukan kerana dia lawan kita tapi bantuan ini dengan kekuatannya dia boleh menyuburkan sistem demokrasi negara,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, menyifatkan kenyataan Osman itu sebagai bercanggah dengan prinsip dan nilai demokrasi yang diperjuangkan rakyat khususnya oleh PH.

Katanya, pihaknya juga menolak kenyataan Menteri Besar bahawa amalan tidak memberikan peruntukan kepada ADUN pembangkang di Johor sebagai meneruskan amalan kerajaan sebelumnya.

“Bagi mengukuhkan demokrasi, semestinya mana-mana kerajaan mempunyai pembangkang dan ia boleh berlaku sekiranya ADUN pembangkang diberikan hak yang adil dan wajar.

“Justeru, ABIM menggesa kerajaan PH khususnya di Negeri Johor untuk berlaku adil kepada mana-mana wakil rakyat yang dipilih secara rasmi oleh rakyat sama ada dari parti yang membentuk kerajaan mahupun parti pembangkang.

“Diharapkan dengan perubahan landskap politik negara, ia akan memupuk budaya baharu dalam politik yang lebih segar dan baik seterusnya membina semula nilai-nilai demokrasi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Pensyarah Komunikasi Media dan Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid, berkata walaupun peruntukan adalah hak kerajaan memerintah, tapi sewajarnya diberikan secara adil kerana peruntukan itu pembangunan pengundi.

“Saya juga harap wakil rakyat dalam melaksanakan peruntukan itu tidak membezakan sama ada pengundi PH atau pembangkang demi kebaikan rakyat,” katanya.

Ditanya sama ada kritikan dilontarkan secara terbuka oleh pemimpin PH menunjukkan pertembungan pandangan antara pemimpin muda dan lama, beliau berpandangan ia perlu diperhalusi oleh parti.

“Kewujudan media sosial ini memberi ruang kepada sesiapa saja termasuk wakil rakyat mengemukakan pandangan mereka berhubung sesuatu perkara.

“Tetapi pada akhirnya keputusan untuk dilaksanakan sebagai dasar perlu dibuat oleh satu jawatankuasa parti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 6:39 PM