PEKERJA kedai perabot ditemui mati dalam bilik sewa. FOTO Ihsan PDRM
PEKERJA kedai perabot ditemui mati dalam bilik sewa. FOTO Ihsan PDRM
Erika George


PEKERJA wanita kedai perabot ditemui mati di bilik sewa di Pusat Komersil Parkcity, Bintulu, 11.50 pagi hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu, Deputi Superintendan Jame Reis ketika dihubungi mengesahkan mangsa dikenali sebagai Chang Siew Chin, 39, yang berasal dari Batu 5, Jalan Semaba, Kuching itu ditemui mati dalam keadaan tertiarap di bilik sewanya.

“Terdahulu, kita mendapatkan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu membuka pintu bilik mangsa selepas menerima panggilan kecemasan daripada majikan mangsa.

“Difahamkan, pengurus mangsa beberapa kali menghubungi telefon bimbitnya, namun tidak dijawab. Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, dia menghubungi bomba bagi melakukan pemeriksaan di bilik mangsa,” katanya.

Katanya, pasukan paramedik Hospital Bintulu yang menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal yang kita jalankan tidak terdapat sebarang unsur jenayah yang mana kes ini buat masa sekarang diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya.

Jame berkata, pihak polis menghubungi ahli keluarga mangsa di Kuching mengenai kejadian ini.

Mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi tujuan bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 4:23 PM