JAME menunjukkan pisau yang digunakan suspek. FOTO Erika George
JAME menunjukkan pisau yang digunakan suspek. FOTO Erika George
Erika George


PERTELINGKAHAN dua lelaki warga Indonesia yang berebut tempat duduk di dalam van pekerja bertukar tragedi apabila seorang daripadanya maut ditikam dalam kejadian di Batu 22 Jalan Bintulu-Miri, Bintulu, 19 Disember lalu.

Dalam kejadian 5.10 petang itu, mangsa berusia 47 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditikam di perut oleh rakan senegaranya berusia 22 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu, Deputi Superintendan Jame Reis berkata, dua lelaki terbabit dikatakan berselisih faham di luar van pekerja sebelum suspek bertindak agresif dan menikam perut mangsa.

“Kejadian disedari pemandu van itu yang terdengar bunyi bising dari luar sebelum melihat mangsa dalam keadaan meniarap dengan berlumuran darah pada bahagian perut.

“Pemandu van itu kemudian membawa mangsa ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

Beliau berkata, susulan laporan yang dibuat di Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, suspek berjaya ditahan di rumah sewanya di Jalan Tanjung Batu, Bintulu pada jam 1.30 tengah hari, semalam.

“Turut dirampas ialah sebilah pisau berukuran 37 sentimeter dipercayai digunakan suspek menikam mangsa.

“Kita berjaya menyelesaikan kes ini dalam masa kurang daripada 24 jam dengan tertangkapnya suspek,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 2:33 PM