Mohd Tajudin Abdullah (tengah) ketika melawat lokasi kebakaran Kampung Lubok Bedil.  FOTO Nur Syazwana Mansor.
Mohd Tajudin Abdullah (tengah) ketika melawat lokasi kebakaran Kampung Lubok Bedil. FOTO Nur Syazwana Mansor.
Nur Syazwana Mansor


RUMAH didiamai dua beranak di Kampung Lubok Bedil, Sik, berusia lebih 40 tahun musnah dalam kebakaran malam semalam.

Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, mangsa, Wan Pah Awang Kechik, 66, bersama anaknya Siti Zaleha Yusof, 25, tiada di rumah kerana menghadiri majlis tahlil saudara yang terletak di seberang jalan kediaman mereka.

Menurut Wan Pah, sewaktu sedang sibuk di rumah kenduri, adiknya Tirah Awang Kechik, 49, datang memanggilnya dalam keadaan cemas.

"Tirah memaklumkan bahawa rumahnya sedang terbakar dan memintanya untuk segera pulang.

"Saya seolah-olah seperti kena panah petir sebaik sahaja mendengar berita itu lantas bergegas mengajak anak pulang ke rumah," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmi Kemiskinan negeri Datuk Mohd Tajudin Abdullah di kediaman yang musnah itu, hari ini.

Wan Pah berkata, akibat kejadian itu semua barangan berharga miliknya musnah menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat daerah Sik, Mohd Faizul Izwan Hang Tuah, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.59 malam dan seorang pegawai bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik yang dibantu enam orang bomba sukarela bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati api sedang marak pada rumah kelas B dan kerja-kerja memadamkan kebakaran dilakukan.

"Kemusnahan rumah adalah hampir 100 peratus namun tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan manakala punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Mohd Tajudin berkata, pihaknya dengan kerjasama beberapa jabatan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sik, Pejabat Zakat daerah Sik, Pejabat Daerah Sik, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), pejabat penghulu serta beberapa agensi lain akan mengusahakan bantuan sebuah rumah baru untuk mangsa.

"Saya juga dimaklumkan oleh Pegawai JKM Daerah Sik, Yahya Mat Khatib bahawa Wan Pah akan menerima bantuan bulanan warga emas berjumlah RM300 sebulan selain turut menerima bantuan Bantuan pemulihan RM6,000 serta bantuan khidmat Kaunseling bagi membantu menstabilkan emosi mangsa dan anaknya yang masih trauma dengan kejadian itu.

"Kerja-kerja menolak struktur rumah yang rosak akan dibuat selepas Aildiladha dan akan diikuti dengan kerja-kerja pembinaan selepas itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 3:38 PM