KEADAAN kereta Proton Satria dinaiki tiga beranak sebelum maut dalam kemalangan di KM 29 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1, Gua Musang, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
KEADAAN kereta Proton Satria dinaiki tiga beranak sebelum maut dalam kemalangan di KM 29 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1, Gua Musang, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Ramli Ibrahim


“ARWAH mahu tolong beli minyak van yang rosak sebelum terbabit kemalangan maut itu,” kata Mt Hassan Zakaria, 66, hari ini.

Dia adalah bapa kepada Siti Norhayati, 25, yang maut bersama dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 29 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Felda Chiku 1, Gua Musang, hari ini.

Dalam kemalangan 10.40 pagi itu, Siti Norhayati memandu Proton Satria dalam perjalanan dari Kampung Gua Sejuk menghala ke FELDA Chiku 1.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa cuba memotong sebuah kenderaan memasuki simpang kiri sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Akibatnya, kenderaan mangsa bertembung dengan Perodua Myvi dan Perodua Axia.

Kemalangan itu menyebabkan Siti Norhayati dan anak bongsu, Mohamad Ilham Haiqal Mohamad Hanis Asyraf, 2, meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM), manakala anak sulungnya, Nur Bibi Qalesya, 5, maut di lokasi kejadian.

Pemandu Perodua Myvi, Ishak Mohammad, 31, patah kaki kanan manakala pemandu Perodua Axia, Mohamed Faeez Al Amin Mohamed Noor, 28, tidak cedera.

Mt Hassan yang tinggal di FELDA Chiku 1 berkata, anaknya itu seorang ibu tunggal dan baru sebulan memulakan perniagaan kedai makan di Kampung Gua Sejuk.

Katanya, arwah anaknya yang juga anak ketujuh daripada 10 adik beradik kerap pulang ke rumah di FELDA Chiku 1 untuk menjenguknya selepas kematian isteri lebih sebulan lalu.

“Ketika arwah berada di kedai, seorang lelaki yang juga pemandu van memberitahu kenderaannya rosak kerana tersalah mengisi minyak diesel menyebabkan berlaku gangguan enjin.

“Lelaki itu minta tolong arwah supaya membeli petrol, sebelum anak saya memandu kereta Proton Satria dengan membawa dua anaknya ke FELDA Chiku 1,” katanya ketika ditemui di HGM, hari ini.

Mt Hassan berkata, dia berada di rumah terkejut apabila dimaklumkan rakannya berhubung kemalangan itu.

“Pada mulanya saya tidak percaya berlaku kemalangan membabitkan anak dan dua cucu, tetapi sebaik datang ke HGM, ia memang berlaku,” katanya.

Berita berkaitan

'Tiga beranak maut kemalangan'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 7:19 PM