PENUNGGANG motosikal membayar tol di Jambatan Pulau Pinang, hari ini. Foto SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
PENUNGGANG motosikal membayar tol di Jambatan Pulau Pinang, hari ini. Foto SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
Hadzlihady Hassan


PEMANSUHAN tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) mulai 1 Januari depan bakal memberi manfaat kepada pengguna terdiri golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Pengumuman yang dibuat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2019 itu disambut baik penunggang motosikal yang menggunakan kedua-dua jambatan itu terutama yang berulang-alik untuk bekerja.

Sebelum ini, kadar tol dikenakan untuk penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang adalah RM1.40 manakala JSAHMS pula RM1.70 untuk perjalanan dari tanah besar menuju ke pulau.

Kedua-dua jambatan yang juga mercu tanda negeri ini menjadi pilihan utama pengguna yang mahu bergerak dengan pantas berbanding penggunaan feri dan kereta.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, pemansuhan tol motosikal itu memberi manfaat kepada golongan pekerja bukan sahaja penduduk negeri ini malah juga mereka yang berasal dari Kedah dan Perak.

“Setiap hari, ribuan penunggang motosikal melalui kedua-dua jambatan bagi tujuan bekerja. Pemansuhan ini akan meringankan beban mereka yang majoritinya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pemansuhan tol ini juga dijangka dapat mengurangkan sedikit masalah kesesakan di jambatan,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 7:26 PM