GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nur Izzati Mohamad


Batu Kawan: Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) selaku pemegang konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) menjangkakan keadaan trafik memasuki bahagian Pulau dan Seberang Perai di Pulau Pinang akan meningkat susulan cuti hujung minggu dan cuti umum sempena Maulidur Rasul pada Selasa depan.

Berikutan itu, pengguna dinasihati merancang perjalanan, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan mendapatkan rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan, serta patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

JKSB dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya bersedia dari segi operasi dengan menyediakan lapan lorong tol merangkumi perkhidmatan Smart Tag, Touch N Go dan RFID bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan para pengguna.

"JSAHMS juga menawarkan ciri-ciri keselamatan yang terbaik demi keselesaan pengguna seperti laluan khas kepada penunggang motosikal.

"Selain itu, JSAHMS juga bertindak sebagai laluan alternatif untuk ke bahagian utama pulau seperti Batu Maung, Bayan Lepas, Balik Pulau dan Georgetown," katanya.

Kata kenyataan itu lagi, dengan kadar tol sebanyak RM 5.74 bagi Kelas Satu merangkumi kenderaan persendirian atau penumpang, justeru JSAHMS adalah pilihan untuk pengguna keluar masuk dari atau ke bahagian pulau.

"Ini kerana ia adalah direct dual carriageway yang menghubungkan secara terus Batu Kawan kepada bahagian utama pulau dan menghubungkan Batu Kawan secara terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas.

"Pengguna akan sampai ke kawasan yang dinyatakan di atas dengan lebih mudah tanpa perlu menempuh kesesakan yang serius.

"Tidak dinafikan, JSAHMS terletak lebih jauh daripada mod lintasan yang lain tetapi jika dipertimbangkan dari segi kesenangan pengguna, JSAHMS adalah alternatif terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 4:22 PM