KADAR caj tol kenderaan bagi kelas 1 Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) dikurangkan selepas detik tahun baharu 2020. FOTO SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
KADAR caj tol kenderaan bagi kelas 1 Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) dikurangkan selepas detik tahun baharu 2020. FOTO SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL
Siti Sofia Md Nasir


PENGGUNA Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) mula menikmati penjimatan apabila kadar tol jambatan itu dikurangkan daripada RM8.50 kepada RM7 bermula 12.01 tengah malam semalam.

Pengurangan kadar tol itu selaras dengan pengumuman kerajaan ketika Belanjawan 2020 pada Oktober lalu, selain ia bagi penyeragaman dengan Jambatan Pulau Pinang.

Ahli Lembaga Pengarah Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), Datuk Seri Farizan Darus, berkata penyeragaman itu akan memberi manfaat kepada lebih 9 juta pengguna JSAHMS setiap hari.

“Sejak ia dibuka pada 2014, JSAHMS mencatatkan peningkatan purata sebanyak 32 peratus setiap tahun.

“Bermula dengan hanya 3.4 juta pengguna pada 2014, sekarang kita mempunyai 9.5 juta pengguna setiap hari setakat November 2019, dan ini adalah perkembangan memberangsangkan,” katanya pada sidang media di Batu Kawan, semalam.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Penyeragaman Kadar Tol JSAHMS di Plaza Tol JKSB.

Sementara itu, pengguna, Garrison Goh, 35, berkata, beliau amat gembira dengan pengurangan kadar tol JSAHMS ketika ia diumumkan kerajaan tahun lalu.

“Saya menggunakan JSAHMS setiap hari kerana tinggal di Pulau Pinang dan bekerja di Batu Kawan.

“Setiap bulan saya memperuntukkan kira-kira RM200 untuk tol sahaja, dengan pengurangan RM1.50 itu saya boleh jimat banyak selepas ini,” katanya.

Bagi Mohd Zulfahmi Arbain, 27, beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

“Sudah tentu ini menggembirakan saya yang tinggal di Parit Buntar dan bekerja di Pulau Pinang.

“Walaupun sekadar RM1.50, ia tetap bernilai kepada saya,” katanya.

Untuk rekod, JSAHMS yang dibina sepanjang 24 kilometer (km) tidak pernah mencatatkan rekod kesesakan jalan raya sejak ia dibuka secara rasmi pada 1 Mac 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 6:37 AM