MAZLAN (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan peralatan dirampas daripada sindiket Macau Scam yang beroperasi di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur.
MAZLAN (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan peralatan dirampas daripada sindiket Macau Scam yang beroperasi di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur.
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS Kuala Lumpur menumpaskan sindiket Macau Scam antarabangsa yang menjadikan sebuah kondominium di ibu negara sebagai pusat operasi bagi memperdaya mangsa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan dijalankan anggota Bahagian Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 18 Oktober lalu, polis menahan 23 lelaki warga China dipercayai terbabit dalam sindiket itu.

Katanya, serbuan pada 5 petang di sebuah unit kondominium di Jalan Tun Razak itu dijalankan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan IPD Wangsa Maju.

“Hasil siasatan dijalankan, sindiket itu dikesan sudah beroperasi di negara ini sejak dua bulan lalu.

“Sasaran mereka adalah rakyat di China sendiri dan polis masih menyiasat kemungkinan sama ada rakyat di negara ini turut menjadi mangsa sindiket itu,” katanya pada sidang media Kejayaan Menumpaskan Sindiket Macau Scam di IPK Kuala Lumpur, semalam.

Mazlan berkata, 23 ahli sindiket yang ditahan berusia antara 18 tahun hingga 39 tahun dibayar gaji RM3,000 sebulan bagi menipu mangsa.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas wang tunai RM3,585, 22 unit komputer, 28 unit telefon bimbit serta beberapa peralatan elektronik lain.

“Semua ahli sindiket yang ditahan masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial, namun bekerja dengan sindiket berkenaan.

“Buat masa ini, kita masih menyiasat jumlah sebenar mangsa, berapa jumlah wang yang sudah ditipu serta mengesan dalang utama sindiket berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan semua ahli sindiket itu kini direman selama 14 hari mengikut Akta Imigresen sehingga 1 November depan,” katanya.

Mazlan berkata, sebanyak 376 kes Macau Scam membabitkan kerugian RM43.6 juta direkodkan di ibu negara bagi tempoh antara Januari hingga September tahun ini.

Beliau berkata, jumlah kes itu menunjukkan peningkatan sebanyak 134 kes daripada 242 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Bagi tempoh sama tahun lalu, jumlah kerugian kes itu adalah RM8.3 juta dan tahun ini menunjukkan peningkatan sangat ketara iaitu sebanyak 35.2 juta.

“Peningkatan ini cukup besar dan menunjukkan isu ini sudah semakin serius dan perlu dibanteras habis-habisan,” katanya.

Mazlan berkata, susulan peningkatan kes penipuan Macau Scam itu, polis meminta kerjasama orang ramai bagi menyalur maklumat mengenai kegiatan sindiket berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 12:59 AM