ASMAN Shah Abdul Rahman (kanan) membuat pemasangan lampu solar pada program Datuk Bandar MBPG Bersama Komuniti Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang. FOTO Nurul Amanina Suhaini
ASMAN Shah Abdul Rahman (kanan) membuat pemasangan lampu solar pada program Datuk Bandar MBPG Bersama Komuniti Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Pasir Gudang: Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mengeluarkan notis penutupan kepada 20 kilang yang beroperasi tanpa lesen dalam pemantauan yang dilakukan susulan insiden pencemaran kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, dua tahun lalu.

Datuk Bandar Pasir Gudang, Asman Shah Abdul Rahman berkata, 15 kilang dikenakan tindakan undang-undang, manakala bakinya sedang dalam proses mendapatkan lesen operasi.

Katanya, secara keseluruhannya MBPG menjalankan pemantauan terhadap 72 kilang yang dikesan beroperasi tanpa lesen susulan insiden pencemaran kimia Sungai Kim Kim.

"Pemantauan yang dilakukan sejak awal tahun ini turut membabitkan pelaksanaan rondaan, selain pengambilan sampel air secara bulanan.

"MBPG dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) ada membuat pemantauan kepada penambahan 20 premis lagi iaitu bengkel tertentu dalam memastikan tiada pencemaran berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Datuk Bandar MBPG Bersama Komuniti Kampung Perigi Acheh, di sini, hari ini.

Asman Shah berkata, pada masa sama, komuniti diharapkan turut memberi input seperti mengambil gambar atau video sekiranya terdapat pembuangan sisa untuk dimajukan kepada kami supaya tindakan mudah diambil.

"Tidak dinafikan komuniti turut mempunyai tanggungjawab sosial menjaga alam sekitar iaitu dengan tidak membuang sampah ke dalam sungai demi kebaikan bersama," katanya.

Pada program berkenaan, beliau berkata, sejumlah RM14 juta diperuntukkan bagi projek pembinaan jalan dan jambatan di Kampung Perigi Acheh, yang dijadualkan siap awal tahun depan.

"Ia adalah Manifesto 100 Hari MBPG dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada 35 kampung induk dan kampung rangkaian yang ada di pinggiran kawasan bandar raya Pasir Gudang.

"Inisiatif itu turut meliputi pemasangan lima lampu solar, kemudahan taman permainan, selain melihat kepada keperluan asas penduduk kampung seperti balai raya, padang futsal mahupun balai komuniti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 2:53 PM