Luqman Arif Abdul Karim

USUL untuk mengheret Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN UMNO- Kinabatangan) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana menghamburkan perkataan kesat, ditarik balik serta-merta.

Pengakhiran sehingga membawa kepada perdamaian dalam kalangan ahli Dewan Rakyat itu susulan permohonan maaf Bung yang menyifatkan dirinya akan ‘bertaubat’ daripada mengulangi perbuatan sedemikian pada sesi Parlimen akan datang.

“Saya sedari bahawa perbuatan dan ungkapan adalah tindakan tidak berparlimen dan melanggar Peraturan Mesyuarat 36(4) pada 7 Oktober 2018 lalu.

“Dengan penuh kekesalan kerana menggunakan ungkapan itu, sesungguhnya dengan suci hati, saya mohon maaf kepada Yang di-Pertua (Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan anggota dewan mulia ini, terutama Ahli Parlimen wanita.

“Saya beri jaminan, perkara ini tidak akan berulang lagi di masa depan, justeru dengan rendah diri, permohonan maaf ini diterima suci hati, terutama Shah Alam (Khalid Samad),” katanya sambil mengukir senyuman apabila melihat kelibat Menteri Wilayah Persekutuan itu memasuki dewan.

Pada 7 Ogos lalu, Dewan Rakyat kecoh apabila Bung mengeluarkan kata-kata kesat kepada Ahli parlimen PH.

Kekecohan bermula apabila Willie Mongin (PH PKR-Puncak Borneo) bangkit mencelah ucapan Bung mengenai kenaikan harga barang di pasar borong Selayang selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan.

Willie mencelah dengan menyebut perkataan “kasino“, merujuk kepada Bung pernah ke tempat hiburan berkenaan.

Bung kemudian meminta kenyataan itu ditarik balik dengan menyifatkan Willie kurang ajar.

Su Keong Siong (PH DAP-Kampar) kemudian bangkit mencelah dan berkata, kenyataan Willie sebagai pertanyaan.

Bung kemudian bangkit dan berkata: “F*** you! Kau salah orang,” tanpa dapat dipastikan ia ditujukan kepada wakil rakyat mana.

Kekecohan itu bertambah kusut apabila Bung terus mengeluarkan perkataan: “Kau main pelacur, bawa perempuan pelacur.”

Susulan sikap dan keikhlasan ditunjukkan Bung, Zuraida Kamaruddin (PH PKR-Ampang) sebagai individu yang mencadangkan usul berkenaan bangun dan berkata, kerajaan diterajui sentiasa mengambil pendirian terbuka.

Bersandarkan kepada dasar berkenaan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menerima permohonan maaf terbabit dan berharap tabiat buruk sedemikian dibuang bagi memartabatkan imej dan institusi Dewan Rakyat.

“Saya percaya semua ahli dewan nak rumah ini jadi Parlimen bertaraf antarabangsa, justeru amalkan perbahasan berkualiti dan usahlah kita layan isu remeh yang sepatutnya tidak patut dibangkitkan.

“Kerajaan baharu sentiasa amalkan sikap terbuka dan mempunyai toleransi tinggi. Diharapkan kita berupaya kembalikan Malaysia sebagai negara bermaruah. Oleh itu, saya terima permohonan maaf ini.

“Saya harap YB (yang berhormat) Kinabatangan dapat kawal emosi harapnya dan tidak mengulangi sikap berkenaan,” katanya disusuli bunyi dentuman meja dalam kalangan ahli Parlimen.

Mohamad Ariff yang menzahirkan kegembiraan susulan sikap dicerminkan ‘anak buahnya’ menganggap episod tikam lidah itu dianggap selesai secara baik dan mengesahkan usul berkenaan ditarik balik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 6:07 PM