DR Mahathir pada hari pertama Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
DR Mahathir pada hari pertama Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
Maiamalina Mohamed Amin dan Amir Abd Hamid


DEWAN Rakyat hari ini membangkitkan semula isu peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang didakwa punca kepada 'kekecohan' yang berlaku termasuk usul penukaran Yang di-Pertua (YDP) Dewan Rakyat.

Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) berkata, "semua ini berlaku kerana Langkawi (Mahathir) berhenti lah hingga berlaku penukaran Speaker," katanya yang menjadi Ahli Parlimen ketiga berbahas usul berkenaan yang dibawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kenyataannya disokong Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang memberitahu peletakan jawatan Mahathir membawa kepada pemilihan Perdana Menteri (PM) baharu.

"Semua punca dari(pada) Langkawi. Agong sudah nasihat tapi dia nak berhenti juga. Kami terpaksalah cari PM lain.

"Dulu Tun lantik Lathefa Koya dan Tommy Thomas, kita tidak pertikaikan pun, sama saja dengan kita pilih Speaker (Dewan Rakyat)," katanya.

Mempertahankan diri, Dr Mahathir kemudian mencelah dan berkata, beliau meletak jawatan kerana tidak boleh bekerjasama dengan UMNO yang dianggap bukan seperti dulu.

"Apabila saya diberi pilihan untuk bekerjasama dengan UMNO dan UMNO bukanlah yang ditubuh dulu, tapi 'dihijack' orang tertentu, saya tidak boleh bekerjasama," katanya.

Bung Moktar mencelah kenyataan Mahathir, "UMNO satu saja. Dulu Tun yang ajar kami, kami ikut ajaran Tun," katanya.

Usul pengosongan kerusi YDP dibawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diluluskan secara undi belah bahagian dengan 111 undi menyokong, berbanding 109 undi tidak menyokong serta seorang Ahli Parlimen tidak hadir, difahamkan Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (BN-Kota Marudu).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 3:02 PM