Luqman Arif Abdul Karim

DEWAN Rakyat yang mula bersidang pagi tadi menjadi hingar-bingar seperti ‘pasar malam’ apabila penyokong kerajaan dan pembangkang bertelingkah berikutan penggunaan perkataan ‘gangster’ yang tidak dibenarkan.

Keadaan mula kecoh ketika sesi perbahasan titah diraja itu mula tercetus apabila KS Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) menerusi celahannya membangkitkan suatu insiden pergaduhan beberapa tahun lalu.

“Saya masih ingat satu insiden, membabitkan Ketua Pemuda UMNO, mereka ada di sini hari ini, mana dia? Lagak tidak bertamadun, menyerang (mendiang) Karpal Singh bersama sekurang-kurangnya lima lagi Pemuda UMNO seperti gengster.

“Soalan saya, adakah Parlimen sebagai institusi yang berperlembagaan, bawah kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil tindakan sewajarnya kepada gengster Pemuda UMNO?” katanya sambil menuding jari ke blok pembangkang.

Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang lantas bangkit memberikan reaksi daripada penggunaan perkataan gengster itu mengemukakan Aturan Mesyuarat 36(4) supaya Ramkarpal menarik balik kenyataannya.

Aturan itu menggariskan adalah menjadi kesalahan bagi ahli Dewan Rakyat yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat pernyataan seksis.

Pertikaman lidah itu bagaimanapun terus meruncing apabila wakil daripada kedua-dua blok bangkit mempertahankan ‘seteru’ masing-masing, termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan R Sanisvara Nethaji Rayer (PH-Jelutong).

Sanisvara turut menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(4) atas dasar sama supaya Bung Moktar menarik balik perkataan ‘samseng’ yang digunakan terhadap Sanisvara.

Bung Moktar yang terkenal dengan keletahnya di Dewan Rakyat bingkas bangkit dan berkata: “Macam mana saya nak tarik Yang di-Pertua, dia memang samseng pun.”

Reaksi spontan itu sekali gus menyebabkan hampir semua ketawa dalam usaha meredakan suhu perbahasan.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon selepas didesak berulang kali oleh pembangkang itu akhirnya bersetuju supaya Ramkarpal menarik balik perkataan ‘gengster’ namun Ahli Parlimen itu enggan.

Drama di sesi pagi Dewan Rakyat seolah-olah tiada penghujung apabila masing-masing ‘panas punggung’ kerana Ramkarpal berdolak-dalih dan menegaskan keenggannya menarik balik perkataan itu.

Keadaan bertambah ‘nazak’ apabila Mohd Rashid seolah-olah membuat pusingan ‘U’ apabila menjelaskan pertikaian isu penggunaan perkataan samseng itu sudah selesai selepas mengeluarkan arahan kepada pihak berkaitan untuk tidak mengulanginya.

Percanggahan itu lantas menyebabkan suasana di Parlimen terus hingar-bingar apabila pelbagai pihak menuntut Ramkarpal akur terhadap arahan Mohd Rashid.

Usaha Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) untuk menyambung perbahasannya sebagai pencadang usul terus terbantut dan mendakwa pembangkang sengaja mahu membuli Mohd Rashid yang baru dilantik.

Sekali lagi Ismail bangun dan meminta Johari menarik balik perkataan ‘membuli’ kerana ia tuduhan tak berasas.

Keadaan itu berlarutan sehingga jam 1 tengah hari sehingga Dewan Rakyat terpaksa berhenti rehat sebelum menyambung sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong pada jam 2.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 2:10 PM
(Dari atas kiri) Johari, Shamsul Anuar, Ramkarpal dan Ismail antara Ahli Parlimen yang terbabit dengan ‘kekecohan’ pada sesi pagi Dewan Rakyat hari ini. FOTO Ihsan BNPPortal
(Dari atas kiri) Johari, Shamsul Anuar, Ramkarpal dan Ismail antara Ahli Parlimen yang terbabit dengan ‘kekecohan’ pada sesi pagi Dewan Rakyat hari ini. FOTO Ihsan BNPPortal