ORANG ramai mengerumuni mangsa yang terbabit dalam kemalangan berhampiran Sekolah Kebangsaan Long Lapok, Marudi, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
ORANG ramai mengerumuni mangsa yang terbabit dalam kemalangan berhampiran Sekolah Kebangsaan Long Lapok, Marudi, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Rizal Abdullah


MALANG menimpa dua kanak-kanak perempuan apabila mereka terbunuh akibat dirempuh sebuah pikap dalam kemalangan di Jalan Bakong berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lapok, Marudi, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.35 pagi itu, mangsa Carin Tigan, 10, dan anak saudaranya Monica Ubong, 3, dipercayai mahu melintas jalan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua mangsa disahkan maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang melintas jalan sebelum dirempuh Isuzu Dmax yang datang dari arah Bakong ke Lapok.

“Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Beluru.

“Pemandu kenderaan terbabit iaitu lelaki berusia 28 tahun tidak cedera,” katanya.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mereka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 8:19 PM