DUDUK santai menghadap tasik buatan memberikan ketenangan tersendiri.
DUDUK santai menghadap tasik buatan memberikan ketenangan tersendiri.
KEHIJAUAN alam semula jadi mendamaikan.
KEHIJAUAN alam semula jadi mendamaikan.
BUAIAN kayu di tengah taman rempah memberikan suasana lebih santai buat pengunjung.
BUAIAN kayu di tengah taman rempah memberikan suasana lebih santai buat pengunjung.
LALUAN di sekitar taman yang memberikan kemudahan kepda pengunjung saat meneroka.
LALUAN di sekitar taman yang memberikan kemudahan kepda pengunjung saat meneroka.
MERENDAM kaki di spa ikan mini cukup mengujakan.
MERENDAM kaki di spa ikan mini cukup mengujakan.
Oleh Suliati Asri


Cuaca yang agak panas petang itu sedikit mengganggu ‘mood’ menerokai satu daripada destinasi yang perlu dikunjungi jika berada di Pulau Mutiara iaitu Taman Rempah Tropika atau Tropical Spice Garden.

Namun, aroma rempah- ratus yang harum diikuti tiupan angin laut sepoi-sepoi bahasa seperti mengalu-alukan kehadiran penulis bersama rakan media lain.

Kehijauan alam semula jadi yang menghijau dengan bunyi unggas dan kicauan burung yang merdu memberikan kedamaian, sekali gus membuatkan peserta Program Mendalami Keunikan & Warisan Pulau Mutiara teruja menerokai taman yang unik itu.

Terletak di kawasan lereng bukit menghadap laut di Teluk Bahang dan hanya tiga minit perjalanan dengan kereta dari Batu Ferringhi, Taman Rempah Tropika ini cukup menarik.

Dibuka atas dasar hobi, Taman Rempah Tropika yang berhadapan Selat Melaka adalah projek agro-pelancongan yang dibiayai secara persendirian dan disokong kerajaan Pulau Pinang.

Menariknya, permata tersembunyi di Asia Tenggara yang sudah menjangkau 12 tahun selepas pembukaannya pada November 2003, bukan sekadar Taman Rempah Tropika, tetapi tarikan utama dan institusi botani di rantau ini.

Meliputi kawasan landskap kira-kira 2.4 hektar daripada 3.2 hektar keluasan hutan, ia menyediakan lebih 500 jenis tumbuhan tropika yang subur dan eksotik dari seluruh dunia termasuk rempah asli dari Malaysia, paku-pakis eksotik dari Amerika, bunga-bungaan dan herba.

Taman pertama seumpamanya dibina di utara Semenanjung ini cukup unik kerana pengunjung bukan saja berpeluang melihat pelbagai jenis tumbuhan tropika, tetapi terapi untuk pemulihan tenaga dan minda.

Taman Herba Tropika ini boleh dilalui tiga pintu masuk khas yang disediakan termasuk Taman Air (Water Garden), Bilik Cycad (Cycad Room), Taman Pisang/Heliconia (Banana/Heliconia Bank), Lereng Rempah-Ratus (Spice Terraces) dan Taman Buluh (Bamboo Garden).

Terdapat taman lain iaitu Laluan Halia (Ginger Walk), Lereng Gula (Sugar Terrace), Lembah Hiasan (Ornamental Valley), Dinding Croton (Croton Wall), Laluan Pakis (Fern Walk) dan Denai Hutan (Jungle Trail).

Melangkah ke Taman Rempah Tropika, dada cukup lapang dan segala masalah bagaikan terbang bersama angin.

Memulakan penerokaan di taman ini, anda pasti terpegun melihat kolam ikan berair hijau lumut serta bunga teratai terbesar iaitu Victoria Amazonica Nymphaeaceae.

Taman itu menyediakan trek bagi memudahkan pengunjung melihat pelbagai jenis herba dan tumbuhan.

Trek herba akan membawa anda menyusuri lebih 100 jenis rempah-ratus dan herba tropika yang mempunyai nilai perubatan seperti tongkat Ali, kacip Fatimah, misai kucing dan pokok kayu manis.

Melangkah ke laluan hiasan, anda pastinya terpegun melihat pelbagai koleksi flora eksotik.

Di laluan ini, ‘laluan terapung’ di tengah-tengah taman pastinya membuatkan anda teruja, lantas kamera yang dibawa pasti tidak terlepas merakam pelbagai panorama indah.

Trek Hutan membawa anda melawat Sugar Terrace yang membariskan beraneka pokok tebu dan lorong paku pakis.

Trek tumbuhan hiasan pula lebih mudah dan di sini pengunjung akan melalui taman air, bank heliconia/pisang, taman halia dan kawasan yang dipenuhi pokok bunga puding aneka warna.

Penat berjalan, berhenti di Taman Buluh dan Kios Teh kerana deruan air bukit yang dingin yang memukul batuan memberikan alunan muzik tersendiri.

Keenakan teh bunga suam yang disajikan mengembalikan kesegaran selepas penat meneroka separuh taman itu.

Di sini juga anda boleh merendam kaki di ‘spa ikan’ mini dengan pemandangan hijau cukup mengujakan. Gelagat tersendiri pengunjung yang geli dek gigitan manja ikan-ikan di dalam kolam itu menggamatkan suasana.

Pengunjung juga boleh bersantai menikmati keindahan alam semula jadi yang disajikan di Taman Rempah Tropika ini dengan berbuai di buaian kayu yang dipasang di atas pokok.

Bangku kayu untuk beristirahat turut disediakan untuk kemudahan pengunjung.

Menambahkan kelainan, taman herba ini menyediakan kemudahan sistem lawatan audio taman (garden Audio Tour) membantu pengunjung mengenali pelbagai jenis herba di taman seluas lapan hektar ini. Ia disediakan dalam tujuh bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Arab, Jepun, Jerman dan Perancis.

Ingin merasai kelainan dan mendekatkan diri dengan keunikan suasana malam, Night Walk turut ditawarkan iaitu setiap Sabtu kedua dan keempat setiap bulan dengan bayaran RM80 (dewasa) dan RM60 (kanak-kanak).

Aktiviti selama dua jam ini pastinya memberikan 1001 pengalaman menarik.

Puas berjalan, singgah di kedai cenderahati berasaskan rempah dan herba atau menikmati minuman sejuk di restoran.

Taman Herba Tropika ini dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang dan tiket berharga RM26 (dewasa), RM20 (kanak-kanak), RM15 (kanak-kanak di bawah lima hingga 12 tahun) dan RM20 (pelajar).

Bagi perkhidmatan pemandu pelancong, bayarannya ialah RM35 (dewasa), RM28 (warga emas), RM20 (kanak-kanak) dan RM28 (pelajar).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 10:22 AM