FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hadzlihady Hassan

SEJUMLAH RM794, 070 bayaran saman berjaya dikutip Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang.

Ia sempena pembukaan kaunter khas tawaran diskaun saman selama tiga hari di Spice Arena, Bayan Baru, dekat Georgetown.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kutipan lebih setengah juta ringgit itu diperoleh hasil daripada 7,110 keseluruhan saman yang dibayar pesalah trafik.

Menurutnya, antara bayaran tertinggi dikutip membabitkan kesalahan pandu laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan halangan lalu lintas (parkir).

“Sambutan menggalakkan itu diterima berikutan diskaun khas yang diberikan sehingga 50 peratus hanya dalam tempoh terbabit.

“Inisiatif ini dilakukan bagi menggalakkan serta memberi kelonggaran kepada pesalah trafik membayar saman dengan kadar kompaun yang rendah,” katanya.

Sepanjang tawaran itu, diskaun sehingga 50 peratus diberikan untuk pelbagai kesalahan lalu lintas.

Ia kecuali saman membabitkan kemalangan, kesalahan ketika Op Selamat, saman waran (senarai hitam 2018), saman yang tidak boleh dikompaun, saman dalam tempoh bicara mahkamah dan saman membabitkan kenderaan berat.

Kaunter bayaran saman dibuka selama tiga hari bermula 28 September hingga semalam, bermula jam 10 pagi hingga 4 petang sempena Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA FAIR).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 4:32 PM