KENDERAAN Polis dilihat melakukan pemantauan selepas pihak polis berjaya dalam permohonan untuk menggali semula kubur jenazah Allahyarham Nazrin Hassan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara. FOTO Mohamad Shahril BadriI Saali
KENDERAAN Polis dilihat melakukan pemantauan selepas pihak polis berjaya dalam permohonan untuk menggali semula kubur jenazah Allahyarham Nazrin Hassan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara. FOTO Mohamad Shahril BadriI Saali
Hasbi Sidek


PIHAK polis membuat pemantauan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, Petaling Jaya, lokasi kubur jenazah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan, yang akan digali semula.

Wartawan yang membuat tinjauan di lokasi mendapati kereta peronda polis (MPV) dengan dua anggota tiba di lokasi 12.30 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, selepas berada di lokasi kira-kira 30 minit, kedua-dua anggota berkenaan beredar.

Difahamkan mereka diarahkan pihak atasan supaya membuat pemantauan di lokasi berkenaan dan melaporkan sebarang aktiviti atau pergerakan di tanah perkuburan itu.

Terdahulu, Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membenarkan polis untuk menggali semula kubur jenazah Allahyarham Nazrin yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Jun lalu.

Difahamkan, permohonan itu dibuat untuk mendapatkan mayat Nazrin bagi menjalankan bedah siasat kali kedua.

Pada 4 September lalu, isteri Nazrin, Samirah Muzaffar dan bekas suaminya yang masing-masing berusia 43 tahun ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.

Turut ditahan reman, anak tiri Nazrin yang berusia 14 dan 16 tahun pada 9 September lalu.

Selain itu, pada 24 September lalu, suami isteri yang juga adik ipar kepada Nazrin pula direman empat hari.

Bagaimanapun, kesemua suspek dibebaskan selepas tamat reman.

Berita berkaitan

Kubur CEO Cradle Fund digali semula... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 2:26 PM