KENDERAAN membawa  jenazah Nazrin Hassan tiba di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, Petaling Jaya. FOTO Syarafiq Abd Samad
KENDERAAN membawa jenazah Nazrin Hassan tiba di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara, Petaling Jaya. FOTO Syarafiq Abd Samad
Fazrik Kamarudin

Foto Syarafiq Abd Samad

POLIS akan menunggu laporan penuh bedah siasat kedua bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan sebelum membuat tindakan selanjutnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Assisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, laporan bedah siasat kedua itu akan disiapkan dalam masa terdekat selepas proses itu dilakukan minggu lalu.

"Kita akan tunggu hasil bedah siasat kedua yang dilakukan ke atas jenazah Allahyarham Nazrin. Proses itu selesai semalam.

"Ahli patologi yang terbabit akan menyiapkan laporan bedah siasat itu secepat mungkin.

"Sebaik lengkap, pasukan penyiasat akan meneliti laporan itu sebelum memutuskan apakah tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, jenazah Nazrin selamat dikebumikan buat kali kedua selepas kuburnya digali semula lapan hari lalu.

Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara, Petaling Jaya, 12.30 tengah hari tadi selepas dibawa dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Turut dilihat hadir, ahli keluarga terdekat Nazrin dan kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lalu yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca akibat letupan telefon bimbitnya.

Berita berkaitan:

Jenazah Nazrin selamat dikebumikan sekali lagi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 1:49 PM