GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


DUA pekerja ladang maut selepas motosikal ditunggang bertembung sesama sendiri di Kilometer 135 Jalan Sandakan - Lahad Datu, dekat Kampung Paris 3, malam tadi.

Dalam kejadian 7 malam itu, Zulfadlie Baharudin, 19, yang menunggang Honda Wave dan Ramli Karim, 24, menunggang Yamaha LC dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Rakan Ramli yang juga pembonceng berusia 20 tahun parah dan dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang maut bekerja di dua ladang berlainan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat berkata, ketika kejadian penunggang Honda Wave dalam perjalanan ke arah Lahad Datu dan satu lagi motosikal dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, penunggang Honda Wave dipercayai hilang kawalan lalu motosikalnya terbabas ke kanan jalan dan merempuh motosikal Yamaha dinaiki dua lelaki.

“Akibat kejadian, kedua-dua penunggang meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

A Sahak berkata, mayat dihantar Hospital Kinabatangan manakala mangsa parah dikejarkan ke Hospital Lahad Datu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 9:32 AM