PENGERUSI Jawatankuasa Kebudayaan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin (kanan) memberi nama Muhammad Rizqy Sofiy kepada bayi lelaki seberat 2.76 kilogram (kg) yang ditemui di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Lanchang pada pagi Selasa lalu. FOTO Nazirul Roselan
PENGERUSI Jawatankuasa Kebudayaan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin (kanan) memberi nama Muhammad Rizqy Sofiy kepada bayi lelaki seberat 2.76 kilogram (kg) yang ditemui di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Lanchang pada pagi Selasa lalu. FOTO Nazirul Roselan
Nazirul Roselan


BAYI lelaki yang ditemui di Hentian Lanchang, Lebuhraya Pantai Timur pada Selasa lalu diberi nama Muhammad Rizqy Sofiy.

Nama berkenaan diberi oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin ketika melawat bayi malang itu di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, hari ini.

Beliau diiringi Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Temerloh, Zulkhairi Zainol Abidin dalam lawatan itu.

Ketika ditanya pemilihan nama berkenaan, beliau memberitahu ia membawa maksud rezeki kerana bayi itu dijumpai dalam keadaan selamat.

“Setakat ini, Muhammad Rizqy berada dalam pemantauan pihak hospital dan saya bersyukur kerana dia sihat.

“Keadaan bayi seberat 2.7 kilogram ini akan terus dipantau sehingga pihak hospital benar-benar berpuas hati dengan tahap kesihatannya,” katanya kepada media selepas lawatan itu.

Pada 9 Oktober lalu Muhammad Rizqy Sofiy, ditemui dalam keadaan bogel di dalam tandas wanita di Hentian Lanchang menghala ke Kuala Lumpur.

Kejadian kira-kira 5 pagi itu disedari oleh orang awam yang menemui bayi berkenaan di atas kabinet simen di dalam bilik tandas bernombor 11.

Sementara itu Zulkhairi berkata, Muhammad Rizqy masih ditempatkan di HoSHAS sehingga pihak hospital berpuas hati dengan tahap kesihatannya.

“Apabila bayi itu dibenarkan keluar dari hospital, JKM akan mendapatkan perintah sementara dari mahkamah untuk ditempatkan di rumah kanak-kanak di bawa seliaan JKM“, katanya.

Berita berkaitan

Tangisan dari dalam tandas, awal pagi...

'Alhamdulillah, bayi selamat'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 5:20 PM